
Hakim perbicaraan Datuk Collin Lawrence Sequerah dengan tegas berkata bahawa beliau tidak akan dipengaruhi untuk menetapkan kes mana yang perlu diutamakan setelah surat daripada pihak pendakwaan berhubung perbicaraan rasuah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikongsi di internet.
Pada permulaan perbicaraan pagi ini, peguam utama pembelaan peguam Hisyam Teh Poh Teik memberitahu Sequerah bahawa pejabat pendakwaan telah menghantar surat bertarikh 29 Ogos kepada hakim Mahkamah Tinggi untuk memohon keutamaan bagi kes Zahid.
Tetapi serta-merta, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob berkata pasukannya telah “diarahkan untuk menarik balik surat yang kami hantar semalam, jadi tidak ada lagi permohonan sedemikian” dan memohon maaf.
Hisyam mencelah, dan berkata surat itu boleh ditafsirkan sebagai menekan hakim “untuk menyelesaikan kes secepat mungkin”.
Selepas mendengar kedua-dua pihak, Sequerah menyatakan bahawa perbicaraan Zahid perlu diteruskan.
“Bagaimanapun, mahkamah akan meneruskan pada tarikh yang telah ditetapkan, dan saya tidak fikir mahkamah boleh ditetapkan kes apa yang perlu dibicarakan, kes apa yang tidak perlu dibicarakan, kes mana yang perlu diutamakan, kes mana yang tidak perlu diutamakan.
“Ia adalah prerogatif mahkamah, jadi mahkamah akan meneruskan dengan tarikh yang ditetapkan,” kata hakim itu memetik laporan MalayMail.
Peguam bela Hamidi Mohd Noh kemudian tampil untuk memeriksa semula Ahmad Zahid.
Hari ini genap 17 hari Zahid memberi keterangan sebagai saksi pertama setelah diperintah membela diri dalam kes melibatkan Yayasan Akalbudi.
Semalam, mahkamah berhenti awal pada sesi perbicaraan sebelah petang setelah Zahid mengadu tidak sihat, sebelum peguam Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal memaklumkan Presiden UMNO itu masih berubat disebabkan bronkitis dan jangkitan saluran kencing.
Dalam kes ini, Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 daripadanya kerana pecah amanah berhubung lebih RM31 juta dana Yayasan Akalbudi (YAB), 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan lapan pertuduhan rasuah lebih RM21.25 juta.
Zahid didakwa dengan 12 pertuduhan pecah amanah, iaitu menggunakan dana YAB untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi lapan tuduhan rasuah pula, dia didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.
Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.