Perbicaraan Shafee dalam kes wang haram ditangguh 22 Julai

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam kes pengubahan wang haram sebanyak RM9.5 juta pada 22 Julai nanti, ia susulan perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0).

Shafee berdepan pertuduhan menerima wang tersebut daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perbicaraan tersebut sepatutnya bersambung hari ini di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin selepas ditangguhkan pada 4 Jun lalu disebabkan bermulanya PKP pada awal minggu tersebut

Menurut laporan Malaysiakini, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz mengesahkan perbicaraan hari ini dibatalkan ekoran Fasa 1 PKP 3.0

“(Perbicaraan disambung dari) 22 hingga 23 Julai, berdasarkan tarikh yang ada (sebelum ini) ditetapkan oleh mahkamah,” katanya dipetik laporan itu.

Shafee didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram RM9.5 juta yang didakwa diterimanya dari Najib dan dua pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pada 13 September 2018, Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta, melalui cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 11 September 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Februari 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Shafee juga didakwa atas dua pertuduhan terbabit dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram, iaitu mengemuka penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015, jika sabit kesalahan akan berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda daripada jumlah hasil aktiviti haram.

BERITA BERKAIT
POPULAR