
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad.
Sepatutnya perbicaraan rayuan melibatkan kes rayuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bermula hari ini, tetapi ia ditangguhkan sekali lagi ke 26 Jun ini.
Bekas Pengerusi FELDA itu sebelum ini sudah disabitkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta atas kesalahan rasuah RM3 juta, namun hukuman belum dilaksanakan kerana masih masih dalam perbicaraan di Mahkamah Rayuan.
Peguam bela Mohd Isa, Siti Sarah Khalil, berkata penangguhan itu bagi memberi masa kepada pihaknya untuk memfailkan hujahan balas pihak pendakwaan.
“Penangguhan berkenaan dibenarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Muhammad Noor Firdaus Rosli, ketika pengurusan kes itu secara dalam talian hari ini,” katanya dipetik laporan BH.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, ketika dihubungi mengesahkan tarikh baharu prosiding rayuan terbabit.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd Isa, 74, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh FELDA.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, di sini antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya semua hukuman penjara itu berjalan serentak.
Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta, di samping menetapkan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan hingga rayuan selesai.