
Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman 12 tahun penjara setelah kekal didapati bersalah melibatkan RM42 juta dana SRC International.
Perbicaraan penuh kes saman SRC International Sdn Bhd terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak ditetapkan bermula Januari 2025 depan.
Menurut Peguam mewakili SRC International dan Gandingan Mentari, Kwan Will Sen saman sivil yang difailkan SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari akan didengar di hadapan pesuruhjaya kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Tarikh perbicaraan penuh pada 2025 ialah 13 hingga 17 Januari, 20 hingga 24 Januari, 12 hingga 14 Februari, 17 hingga 21 Februari dan 24 hingga 26 Februari,” katanya lapor Malaysiakini.
Kwan berkata saman sivil itu ditetapkan untuk pengurusan kes pagi ini dan mahkamah menetapkan 4 Ogos tahun ini untuk pengurusan kes lanjutan bagi pihak-pihak terlibat untuk mengemaskini status arahan praperbicaraan.
Saman itu adalah satu daripada 22 tindakan sivil oleh SRC International dan 1MDB dua tahun lalu.
SRC International ialah bekas anak syarikat 1MDB yang kemudiannya menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) dan 1MDB juga dimiliki sepenuhnya oleh MOF Inc.
Tahun lepas SRC International memperoleh injunksi Mareva daripada mahkamah untuk menghalang bekas perdana menteri itu daripada melupuskan aset sehingga RM42 juta sementara menunggu saman berkenaan.
Najib juga menghadapi perintah injuksi Mareva yang serupa berkaitan saman sivil berjumlah AS$8 bilion (RM35 bilion) yang difailkan 1MDB terhadapnya.
Najib kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas disabitkan bersalah dalam kes rasuah membabitkan dana RM42 juta SRC International.