
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berdepan 40 tuduhan jenayah, termasuk rasuah, di Mahkamah Tinggi Shah Alam membabitkan wang lebih SG$13,56 juta.
Perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung Sistem Visa Asing Luar Negara (VLN) di Mahkamah Tinggi Shah Alam, yang jadualkan hari ini, ditangguhkan kepada 10 Ogos kerana saksi pendakwaan terakhir yang dipanggil memberi keterangan masih didapati positif Covid-19.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memberitahu Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bahawa saksi yang merupakan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu masih positif Covid-19 dan dalam kuarantin sehingga 31 Julai, lapor Bernama.
“Jika diizinkan Yang Arif kami mohon sambung bicara kes ini diteruskan pada tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu 10 hingga 12 Ogos depan,” katanya.
Memandangkan tiada bantahan daripada peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid, mahkamah kemudiannya menangguhkan perbicaraan hari ini dan menetapkan 10 hingga 12 Ogos depan untuk menyambung perbicaraan.
Dalam perbicaraan itu, pendakwaan diwakili Raja Rozela, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob dan Zander Lim Wai Keong manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.
Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.