Perbicaraan kes pengubahan wang haram Shahrir ditangguh

December 15, 2022 · Isu semasa

Perbicaraan kes bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Ab Samad yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak, ditangguhkan kepada 22 Disember kerana saksi penting pendakwaan tidak sihat, hari ini.

Perbicaraan ditangguhkan selepas saksi yang sepatutnya memberi keterangan dalam kes Shahrir menerima RM1 juta didapati sakit dan menyerahkan sijil cuti sakit (MC), menurut laporan Bernama.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan penangguhan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi, memaklumkan kepada mahkamah bahawa saksi ke-22 pendakwaan (SP22) yang juga Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurzahidah Yacop telah diberi MC hari ini daripada Klinik Kesihatan Putrajaya.

“Mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan pada 5 Januari depan,” kata hakim.

Terdahulu, Rasyidah Murni berkata, Nurzahidah semalam memohon kepada mahkamah untuk membenarkannya ke klinik bagi mendapatkan rawatan, dan pihak pendakwaan menerima MC daripada saksi itu yang salinannya akan diberikan kepada peguam, hari ini.

“Hari ini ditetapkan untuk sambung bicara bagi pihak peguam menyoal balas saksi berkenaan (Nurzahidah). Saksi ini penting untuk kes ini dan pihak pendakwaan tidak berniat melengah-lengahkan masa mahkamah. Memandangkan ini adalah soal kesihatan, ia tidak seharusnya dipandang enteng oleh semua pihak.

“Oleh itu, kami mohon perbicaraan hari ini ditangguhkan, manakala tarikh ditetapkan sebelum ini, iaitu 22 dan 23 Disember dikekalkan untuk kami memanggil saksi berkenaan serta Datuk Seri Najib,” katanya.

Sementara itu peguam, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros yang mewakili Shahrir, mengesahkan pihaknya sudah menerima maklumat itu melalui aplikasi WhatsApp, semalam, dan mendoakan saksi terbabit cepat sembuh untuk hadir semula ke mahkamah menyambung keterangannya.

“Saya menghormati permohonan pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan hari ini dan pihak pembelaan tidak memandang ringan perkara ini. Bagaimanapun, kami mohon supaya kes ini dapat diselesaikan segera memandangkan anak guam saya cuba untuk membersihkan namanya sebagai kluster mahkamah.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), beliau (Shahrir) tidak bertanding atas alasan ia tidak adil untuk pengundi di Johor Bharu kerana dalam minda rakyat, beliau adalah kluster mahkamah,” katanya dan memohon supaya tarikh perbicaraan juga ditetapkan pada Januari depan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd ‘Afif Ali kemudian berkata pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk menangguh dan melambatkan prosiding kes itu, malah sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya demi keadilan semua pihak.

Shahrir, 72, didakwa terbabit pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 25 April 2014, mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024· Politik
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024· Isu semasa
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Punca penderaan di taska meningkat
April 24, 2022
SPRM ambil keterangan kedua Menteri DAP: Laporan
April 19, 2023
Malaysia tuan rumah Sukan SEA 2027
May 12, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok