Perbicaraan diteruskan walaupun Guan Eng masuk IJN terima rawatan

Lim Guan Eng dimasukkan Institut Jantung Negara (IJN) sejak Ahad, bagaimanapun kes perbicaraannya berhubung kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang tetap diteruskan hari ini.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu memberi sijil sakit berhubung kemasukkan ke IJN, ia diserah peguamnya Gobind Singh Deo kepada Mahkamah Sesyen pagi ini.

“Beliau menjalani prosedur perubatan dan pihak hospital telah memberikan sijil sakit kepadanya bermula Ahad hingga esok. Beliau akan kembali ke mahkamah pada Khamis.

“Kami memohon perbicaraan dijalankan tanpa kehadirannya memandangkan pihak pendakwaan memanggil saksi rasmi hari ini dan esok,” katanya lapor FMT.

Gobind juga berkata mahkamah boleh memohon Seksyen 264 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) di mana kehadiran tertuduh boleh diketepikan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata mereka bersimpati dengan keadaan Guan Eng dan berharap beliau cepat sembuh.

“Bagaimanapun, kami mahu menyatakan kekesalan kepada mahkamah ini kerana tertuduh (Guan Eng) memilih untuk dimasukkan ke hospital apabila mengetahui perbicaraannya telah ditetapkan minggu ini.

“Saya harap perkara sebegini tidak berulang lagi,” katanya.

Gobind menjawab dengan memohon maaf kepada mahkamah dan menegaskan bahawa pihak pembelaan mahu meneruskan kes itu.

Hakim perbicaraan Azura Alwi kemudian berkata beliau akan merujuk Seksyen 264 CPC untuk perbicaraan hari ini dan esok.

Guan Eng, didakwa sebagai menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Beliau dituduh meminta suapan 10% daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

BERITA BERKAIT
POPULAR