Perbicaraan di AS dedah banyak maklumat baharu skandal 1MDB

Kerajaan memberi jaminan akan menggunakan semua agensi berkaitan untuk menyiasat sedalam-dalamnya kes penyelewengan melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jaminan itu diberikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang berkata perlunya ‘political will’ atau tekad politik untuk melaksanakan siasatan kes tersebut.

“Seperti kata YB Port Dickson tadi (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tadi perlu adanya tekad politik, bukan hanya di pihak pembangkang tetapi juga di pihak kerajaan.

“Perdana Menteri juga berkata, kita tidak boleh ragu, kalau betul memang bersalah kita akan pastikan mereka diheret ke kehakiman,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pembongkaran amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewangan institusi Malaysia khasnya Bank Negara (BNM) berkaitan skandal 1MDB di sesi Kamar Khas, persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mas Ermieyati berkata dengan pendedahan siasatan dan perbicaraan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), ia dapat membantu kerajaan dalam usaha memberikan lagi jawapan atau penemuan lain berkaitan siasatan 1MDB.

Malah katanya, sebaik sahaja pendedahan oleh bekas rakan kongsi Goldman Sachs, Tim Leissner dalam perbicaraan di New York baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat tindakan segera dengan memanggil seorang bekas eksekutif kanan sebuah syarikat televisyen satelit pada 24 Februari lalu, bagi mendapatkan keterangan mengenai dakwaan wanita itu telah menerima pemberian dengan menggunakan dana yang mungkin berkaitan dengan 1MDB.

“Kita masih lagi dalam siasatan, malah kita juga akan memanggil beberapa individu lagi untuk kita siasat sedalamnya, seperti kita tahu kes 1MDB ini telah menghantui rakyat Malaysia, menghantui seluruh negara, kerana ia melibatkan kuasa dunia yang agak besar, sebab itulah kita nyatakan sini kita harus serius dalam memastikan keadilan ini dapat dipertahankan,” katanya.

Mengenai kekangan mendapatkan maklumat di luar negara, Mas Ermieyati berkata menjadi dasar pihak DOJ Amerika Syarikat untuk tidak berkongsi maklumat mengenai siasatan 1MDB dengan Malaysia.

Justeru, Mas Ermieyati berkata kerajaan komited untuk menggunakan segenap mekanisme melalui saluran diplomatik dan kerajaan kepada kerajaan (G2G) untuk mendapatkan maklumat untuk diguna pakai menyiasat mendapatkan bukti-bukti tambahan untuk membantu siasatan skandal syarikat pelaburan strategik itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR