Perbicaraan cabul, luar tabii pendakwah selebriti bermula 18 April

Perbicaraan terhadap pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful berhubung pertuduhan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta akan bermula pada 18 April ini.

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan perbicaraan tersebut selama 10 hari iaitu pada 18, 20, 21 dan 22 April dan disambung pada 25, 26, 27, 28, 29 April dan 17 Mei.

Hakim Jamaludin Mat itu mengumumkan tarikh perbicaraan tersebut hari ini selepas pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris dan peguam Syed Amirul Syed Edros bagi pihak Syed Iqmal bersetuju dengan tarikh-tarikh berkenaan.

“Saya sudah sedia untuk dibicarakan meskipun akan mengambil masa yang panjang,” kata Syed atau dikenali Da’i Syed kepada media selepas selesai prosiding.

Syed Shah Iqmal, 26, bagaimanapun mengakui berasa takut dan berdebar namun berharap kes itu akan diselesaikan dengan cepat.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan juga memaklumkan akan memanggil tujuh saksi pendakwaan termasuk pengadu memberi keterangan pada perbicaraan kelak.

Pada 19 Mac lalu, kes cabul yang dihadapi Syed Iqmal dibenar dipindahkan dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan serentak.

Ketika didakwa di Mahkamah Sesyen pada 10 Disember tahun lalu, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Damansara Perdana antara pukul 3 pagi dan 4 pagi pada 17 Oktober tahun lalu dan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di tempat, waktu dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

POPULAR