
1MDB adalah skandal kewangan terbesar dunia hingga memalukan Malaysia.
Perbicaraan melibatkan seorang bekas pegawai bank Goldman Sachs yang didakwa membantu pengubahan wang haram ratusan juta dolar hasil penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah bermula pada Isnin.
Ia bermula dengan pemilihan juri bagi perbicaraan rasuah Amerika Syarikat (AS) terhadap bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs di Malaysia, Roger Ng semalam, menurut laporan Reuters.
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan konspirasi berkaitan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.
Goldman didakwa membantu menjual bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion (RM27.2 bilion), dana dilancarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk merangsang pembangunan ekonomi.
Menurut pihak berkuasa, pegawai dana dan rakan subahat menyeleweng sebahagian daripada wang berkenaan untuk perbelanjaan mewah, manakala pegawai bank Goldman pula membayar lebih AS$1.6 bilion (RM6.69 bilion) untuk merasuah pegawai di Malaysia dan Abu Dhabi untuk perniagaan 1MDB.
Goldman pada 2020 bersetuju membayar penalti berjumlah AS$2.9 bilion (RM12.1 bilion) dan meminta sebuah unit di Malaysia mengaku kesalahan jenayah untuk menyelesaikan siasatan dijalankan Jabatan Keadilan (DOJ) AS serta pihak berkuasa lain terhadap peranannya dalam 1MDB.
Pada Isnin, Hakim Daerah AS, Margo Brodie, menyoal puluhan bakal juri di Mahkamah Persekutuan Brooklyn mengenai pertalian mereka yang mungkin ada kaitan dengan individu atau entiti yang mungkin disebut dalam perbicaraan, sama ada mereka boleh bersikap adil dan saksama.
Beberapa bakal juri berkata mereka mempunyai pandangan negatif yang kuat terhadap bank.
Seorang bakal juri berkata, Goldman menjadi pengurus kekayaannya sejak 2007, manakala seorang lagi pula berkata, dia bekerja dalam bidang teknologi untuk Goldman selama tujuh tahun sebelum meninggalkan firma itu pada 2017.
Menurut seorang lagi bakal juri, dia sebelum ini pernah bekerja di unit pelaburan perbankan di Barclays dan kes 1MDB diguna pakai dalam latihan antipengubahan wang haram.
Bagaimanapun ketiga-tiga mereka tidak dipecat.
Kenyataan pembukaan perbicaraan dijadual bermula pada 14 Februari ini.
Ng ditahan di Malaysia pada November 2018 dan diekstradisi enam bulan kemudian.
Seorang lagi pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner, mengaku bersalah pada 2018 susulan peranan dalam skandal 1MDB dan dijadualkan dijatuhi hukuman Mac ini.