Perbicaraan 10 kes bekas Menteri Besar Perlis dari UMNO berjalan serentak

June 9, 2023 · Isu semasa

10 pertuduhan dihadapi bekas Menteri Besar (MB) Perlis, Datuk Seri Azlan Man akan berjalan serentak.

Bekas MB dari UMNO itu berdepan lima tuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan lima tuduhan menerima hasil aktiviti haram semasa memegang jawatan tersebut.

Dalam prosiding hari ini, lima tuduhan mengemukakan tuntutan palsu dari Mahkamah Sesyen Perlis dibacakan semula terhadap Azlan, dan beliau mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap kelima-lima tuduhan berkenaan.

Sehubungan itu, Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong memohon supaya lima tuduhan itu digabungkan dan didengar bersama lima tuduhan menerima hasil aktiviti pengubahan wang haram (yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) mengikut Seksyen 165 Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Pada peringkat itu, peguam bela Azlan, Burhanudeen Abdul Wahid berkata, pihak pembelaan menyerahkan perkara terbabit kepada budi bicara mahkamah.

Sehubungan itu, Azura membenarkan permohonan pendakwaan supaya 10 tuduhan itu dibicarakan bersama.

Sementara itu, Wai Keong memberitahu mahkamah, pihaknya sudah menyerahkan dokumen berkaitan kedua-dua kes kepada pembelaan mengikut Seksyen 51A KAJ.

“Justeru itu, kami memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan kes kerana dimaklumkan pihak pembelaan akan menhantar representasi (untuk menimbangkan pertuduhan) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya menurut laporan BH.

Burhanudeen kemudian mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa pihak pembelaan memerlukan masa untuk meneliti dokumen dan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guamnya, serta memohon tarikh pengurusan kes pada 8 September ini.

Permohonan peguam itu kemudian dibenarkan mahkamah.

Pada 10 April lalu, Azlan mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir negeri Perlis.

Azlan didapati dengan niat menuntut kemudahan cuti seberang laut yang layak diberikan kepadanya sebagai Menteri Besar Perlis, bagi tempoh bermula 2013 sehingga 2017, sedangkan tidak ada sebarang perjalanan berkenaan oleh beliau.

Ia membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom dan invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd serta Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Beliau didakwa membuat pernyataan palsu mengenai butiran membabitkan kos bagi tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan ke London dalam beberapa tarikh pada 20 Disember 2013 hingga 2 Januari 2014, 17 hingga 26 Disember 2014, 18 hingga 29 Disember 2015, 23 Disember 2016 hingga 1 Januari 2017 serta 23 hingga 30 November 2017.

Tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama, membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butiran dokumen yang palsu atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pada 12 April pula, Azlan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM1.06 juta.

Mengikut kelima-lima pertuduhan, Azlan didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM1,059,675.25 daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd, Aidil Travel & Tours Sdn Bhd dan wakil Aidil Travel, Abdul Rahim Halim.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum bawah seksyen 4(1) akta sama.

Berita berkaitan
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024· Politik
Dewan Rakyat: Usul gantung Wan Saiful ditarik balik
March 5, 2024· Politik
DAP semakin berani disebabkan UMNO hanya ‘penumpang’ dalam kerajaan
February 13, 2024· Politik
Popular
Jangan cabar umat Islam: Ridhuan Tee beri amaran isu ziarah gereja
March 16, 2023
Awesome TV digantung penyiaran bermula 2 November
October 19, 2023
SPRM masih cari jutaan ringgit kes pembantu menteri DAP: Laporan
April 18, 2023
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024 · Isu semasa
Isteri Tun Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi
March 5, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok