
Kenaikan harga barang merisaukan orang ramai.
Pendedahan pakar ekonomi berhubung perbelanjaan penggunaan isi rumah rakyat Malaysia yang mencecah 70 peratus menunjukkan bahawa masalah kos sara hidup semakin kritikal dan meningkat di negara ini.
Bahkan, tular minggu lalu, saranan pegawai kanan kerajaan yang meminta rakyat kurangkan makan telur berikutan harga bahan penting itu meningkat.
Katanya, jika sebelum ini makan 15 biji, pengguna perlu kurangkan menjadi 10 atau lima biji sahaja.
Kata-kata pegawai berkenaan menjadi perdebatan hangat netizen dan ramai yang mula tertanya-tanya makna saranan tersebut.
Ada yang melontarkan pertanyaan sama ada mereka juga perlu kurangkan makan ayam berikutan harga siling bahan mentah itu naik 50 sen sekilogram.
Malah ada yang seloroh apabila meminta orang ramai menukar gaya masak dengan kukus atau panggang sahaja bagi mengatasi kenaikan harga minyak masak botol antara RM2 hingga RM13 sebotol. Sudahlah minyak peket ibarat pisang goreng panas.
Biarpun pegawai itu mempunyai asas tersendiri berhubung kata-katanya, namun contoh yang diambil tidak boleh diterima.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, perbelanjaan isi rumah juga meningkat merangkumi tiga komponen iaitu keperluan makanan, perumahan serta pengangkutan.
Ujar beliau, golongan berpendapatan rendah (B40) hingga berpendapatan tinggi (T20) menggunakan purata antara 60 hingga 70 peratus daripada perbelanjaan mereka bagi memenuhi tiga perbelanjaan berkenaan.
Situasi tersebut menimbulkan persoalan bagaimana golongan B40 mahu menyediakan peruntukan untuk komponen lain seperti menyimpan untuk pendidikan, kesihatan, simpanan kecemasan dan lain-lain.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan bakal mewartakan gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa 1 Mei lalu ke atas majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih serta majikan yang menjalankan aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (Malaysia Standard Classification of Occupations, MASCO) 2020.
Perkara itu sudah tentu disambut baik oleh rakyat, namun harga barangan keperluan juga mula menunjukkan peningkatan.
Isu kenaikan harga barang terus membelenggu kita semua. Dari soal harga ayam yang tak selesai, kini harga sayur-sayuran dan bahan mentah juga naik.
Ramai yang mendakwa isu kenaikan harga semakin meruncing dan ada laporan mengatakan harga barang keperluan dijangka naik sehingga 60 peratus.
Justeru itu, penyelesaian daripada kerajaan bukan sekadar bantuan semata-mata, malah perlu diteliti dan menyediakan kerangka yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Dalam pada itu, Pakar Ekonomi, University College i-CATS, Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, keadaan tersebut dilihat tidak baik bagi kewangan rakyat Malaysia kerana ia secara tidak langsung menjejaskan perbelanjaan lain seperti pendidikan, riadah dan simpanan.
Menurutnya, perbelanjaan bagi ketiga-tiga perkara itu juga dilihat menyebabkan isi rumah di Malaysia terpaksa mempunyai hutang yang tinggi bagi menampung keperluan lain.
Justeru katanya, bagi menangani keadaan tersebut, kerajaan perlu menilai kembali dasar yang dilaksanakan termasuklah dalam perkara membabitkan pengangkutan.