Peranti vape diwarta, patuh standard

Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Peranti Rokok Elektronik 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 diwartakan hari ini bagi memastikan peranti rokok elektronik yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan dalam perintah itu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan perintah tersebut yang akan berkuat kuasa pada 3 Ogos ini, mewajibkan pengilang dan pengimport peranti rokok elektronik atau ‘vape device’ membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd selaku pihak berkuasa yang berwibawa dilantik kementerian.

KPDNHEP memberitahu penandaan MS SIRIM hendaklah diletakkan pada peranti rokok elektronik, alat gantinya atau pada bekas peranti agar mudah dilihat oleh pengguna.

“Dengan adanya penandaan MS SIRIM pada peranti rokok elektronik menunjukkan ia telah mematuhi standard dan selamat digunakan,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Mememtik Bernama KPDNHEP berkata tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh kementerian sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang dan pengimport.

Jika sabit kesalahan antaranya boleh didenda tidak melebihi RM200,000 bagi syarikat manakala individu pula boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian itu menyatakan pewartaan tersebut merupakan inisiatif kerajaan prihatin atas semangat Keluarga Malaysia bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna.

“KPDNHEP berharap isu lambakan peranti rokok elektronik yang tidak berkualiti dalam pasaran Malaysia akan dapat diatasi dengan pematuhan standard oleh pengilang dan pengimport,” menurut kenyataan itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR