Perang siber ke atas Israel berhasil, Malaysia ubah pandangan dunia

Laman sesawang Agenda Daily diserang penggodam sejak 10 Mei lalu selepas melaporkan banyak berita mengenai kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.

Usaha berterusan rakyat Malaysia menekan komuniti dunia serta mengecam kekejaman rejim Zionis Israel secara maya tidak sia-sia apabila dunia kini telah membuka mata berhubung kezaliman yang dilakukan regim itu.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, inisiatif yang dilakukan oleh rakyat kita itu amat membanggakan sehingga badan pertubuhan dunia akan mengadakan perbincangan khas bagi memperincikan perkembangan keadaan di sana, setelah pelbagai usaha dan desakan dilakukan oleh Malaysia dan negara serantau.

“Dimaklumkan bahawa malam ini (waktu Malaysia) Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat akan memanggil satu Sesi Khas Perhimpunan Agung PBB bagi membahaskan mengenai ‘Situasi Terkini di Timur Tengah’ dan ‘Soal Palestin’.

“Keputusan Presiden UNGA ini juga antara lain hasil desakan bersama ketiga-tiga pemimpin Negara Islam di Asia Tenggara Perdana Menteri,Presiden Joko Widodo dan Kebawah Duli Tuanku Sultan Brunei Ahad lepas.

“Rakyat Malaysia, jangan memandang rendah kekuatan suara anda. Teruskan usaha anda semua!,” kongsinya di Facebook hari ini.

Tambahnya lagi, keberkesanan desakan dan tekanan yang dilakukan Malaysia ini turut diakui sendiri Presiden Persatuan Kebudayaan Palestin Malaysia (PICOM) yang menyatakan rakyat Malaysia telah berjaya mengubah pandangan masyarakat antarabangsa terhadap Israel.

“Inilah kekuatan apabila semua memainkan peranan dan bersatu padu – di pihak Kementerian saya, Kementerian Luar Negeri telah menggunakan setiap ruang bagi mendapatkan resolusi kolektif organisasi-organisasi pelbagai hala.

“Ini termasuklah desakan tegas kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar berhenti membisu sebaliknya bertindak segera mengikut 6 syor Malaysia; serta menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengkaji semula perancangan menempatkan pasukan bersenjata PBB bagi melindungi rakyat Palestin. UNSC jelas gagal mencapai kesepakatan walaupun sudah tiga kali bersidang atas sebab kuasa veto satu negara sahaja. Ini amat mengecewakan!,” katanya.

Tegasnya, kekurangan azam politik organisasi-organisasi pelbagai hala ini tidak boleh terus dijadikan alasan untuk mengabaikan tindakan penjajahan Zionis Israel yang semakin berleluasa.

“Cukup-cukuplah masyarakat antarabangsa berdiam diri. Apa yang berlaku sekarang jenayah perang. Apa yang berlaku sekarang ialah jenayah terhadap kemanusiaan. Ia mesti dikecam dan dihentikan,” tegasnya.

Terdahulu Agenda Daily melaporkan lebih 120 laman dan pangkalan data telah digodam dan puluhan ribu akaun media sosial Malaysia memenuhi ruangan komen akaun media sosial Israel, terutama Facebook dan Twitter Tentera Pertahanan Israel (IDF) untuk mengutuk serangan Zionis terhadap rakyat Palestin.

Untuk rekod, laman sesawang Agenda Daily turut menjadi mangsa serangan dan penggodaman pihak tidak bertanggungjawab sejak 10 Mei lalu.

Serangan ke atas Agenda Daily dipercayai dilakukan kumpulan penyokong rejim pengganas Israel, selepas portal berita ini terus melaporkan kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin, khususnya berhubung dua laporan berita Agenda Daily yang dikongsi lebih 176,000 pembaca dalam ratusan kumpulan WhatsApp, Twitter dan Facebook, di Malaysia dan Indonesia.

POPULAR
Kes penghantar makanan pukul pelanggan hina Islam, 6 ditahanJune 12, 2021
LHDN tunggu Najib bayar cukai selama 8 bulan sebelum isytihar bankrapJune 11, 2021
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
5,793 kes baharu hari iniJune 12, 2021
Tempoh darurat: Kerajaan ambil kira rakyat sebelum nasihat AgongJune 12, 2021
Lebih 4.2 juta sudah terima vaksin Covid-19, kata Menteri KesihatanJune 12, 2021