Peralihan fasa, kelonggaran terbaharu: Apa anda perlu tahu

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini bersetuju membenarkan peralihan fasa bagi negeri-negeri berikut berkuat kuasa pada 18 Oktober 2021:

a) Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah daripada Fasa 2 kepada Fasa 3; dan

b) Melaka dan Lembah Klang (Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor) daripada Fasa 3 kepada Fasa 4.

Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan peratusan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa.

Dengan peralihan fasa bagi negeri-negeri berkenaan, Malaysia secara keseluruhannya kini beralih ke Fasa 3.

Prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 3 dan 4 boleh dilayari di laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) www.mkn.gov.my.

Kelonggaran SOP

Selain itu, antara ketetapan lain yang turut diputuskan hari ini ialah:

1) Operasi Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya dalam negara dibenarkan beroperasi penuh 24 jam bermula esok, 16 Oktober 2021;

2) Kenderaan e-hailing dibenar mengambil penumpang berdasarkan kapasiti tempat duduk kenderaan bagi semua fasa PPN bermula esok, 16 Oktober 2021;

3) Pengurangan tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara dari luar negara berkuat kuasa pada Isnin, 18 Oktober 2021, iaitu:

a) Tempoh kuarantin 7 hari di rumah (jika sesuai) atau stesen kuarantin bagi pengembara dengan vaksinasi lengkap, dan

b) Tempoh kuarantin 10 hari di stesen kuarantin bagi pengembara tiada atau tidak lengkap vaksinasi;

4) Pengurangan tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak rapat juga berkuat kuasa pada Isnin, 18 Oktober 2021, iaitu:

a) Tempoh kuarantin 7 hari di rumah bagi mereka yang lengkap divaksinasi, dan

b) Tempoh kuarantin 10 hari di rumah bagi mereka yang tiada atau tidak lengkap divaksinasi;

5) Pembukaan perkhidmatan pusat siber dan kafe siber dipersetujui dengan penyelarasan kapasiti seperti berikut berkuat kuasa 17 Oktober 2021, iaitu:

a) 80 peratus kapasiti bagi Fasa 3, dan

b) 100 peratus bagi Fasa 4;

6) SOP pelaksanaan pelancongan ke luar negeri bagi tujuan umrah yang telah dibentangkan di Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik bertarikh 27 September 2021 diwartakan selaras dengan pengumuman kebenaran rentas negeri dan negara bermula 11 Oktober 2021. Sehubungan itu, jemaah dibenar mengerjakan umrah selaras dengan keputusan memansuhkan keperluan MyTravelPass untuk ke luar negara. Kebenaran ini berkuat kuasa 18 Oktober 2021.

7) Meeting, Incentives, Conventions and Exhibitions (MICE) dibenarkan di negeri-negeri Fasa 3 PPN secara bersemuka, melibatkan individu yang telah lengkap divaksin berkuat kuasa 18 Oktober dengan syarat-syarat seperti berikut:

a) Melaksanakan ujian saringan Covid-19 melalui kaedah saliva test atau RTK-Antigen,

b) Mematuhi penjarakan sosial,

c) Memakai pelitup muka, dan

d) Kapasiti 50 peratus mengikut ruang.

Negeri dan fasa pemulihan negara.

Pelaksanaan Protokol Test and Release (T&R)

Mesyuarat bersetuju untuk melaksanakan program rintis protokol test and release dengan syarat perjalanan atau itinery yang ketat dan terhad bagi lawatan rasmi kepada kumpulan pengembara yang dikenal pasti iaitu:

  • Pembesar Negara
  • Menteri
  • Timbalan Menteri
  • Menteri Besar
  • Ketua Menteri
  • Exco Kerajaan Negeri
  • Ahli-Ahli Parlimen, dan
  • Pegawai Kerajaan

Pelaksanaan program rintis ini akan berkuat kuasa 18 Oktober 2021 dan akan diperluaskan kepada pengembara perniagaan dalam waktu terdekat.

Antara syarat yang dikenakan adalah:

  • Mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan bersama dokumen sokongan kepada MKN dan KKM bagi tujuan kelulusan;
  • Menjalani ujian PCR tiga hari sebelum berlepas pulang ke Malaysia; dan
  • Menjalani ujian PCR setibanya di mana-mana pintu masuk negara.

Syarat-syarat ini terhad kepada pengembara yang tiba dari negara yang berisiko rendah sahaja. Syarat ini juga terpakai kepada individu yang lengkap divaksin.

BERITA BERKAIT
POPULAR