Perak catat kematian tertinggi 2 hari berturut-turut, kumulatif 1,686 kes

Seramai 86 pesakit Covid-19 meninggal dunia semalam (Khamis, 17 Mac 2022), termasuk 35 daripadanya melibatkan kematian di luar fasiliti kesihatan atau kes brought in death (BID).

Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian sejak awal 2020 hingga semalam meningkat kepada 34,185 kes, termasuk 7,163 kes BID, menurut statistik Kementerian Kesihatan (KKM).

Data laman sesawang CovidNOW kendalian KKM yang dikemas kini tengah malam tadi bagaimanapun tidak menyatakan sama ada 35 kes BID itu turut melibatkan 286,599 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah.

Data juga menunjukkan Perak merekodkan jumlah kematian tertinggi dua hari berturut-turut apabila mencatat 16 kes, berbanding 21 kes pada Rabu, menjadikan kumulatif 1,686 kes.

Perak juga merekodkan peningkatan jangkitan harian tertinggi semalam apabila mencatat 1,561 kes baharu berbanding 1,446 pada Rabu.

Sementara itu, Selangor berada di tempat kedua apabila mencatat 14 kematian semalam, menjadikan jumlah terkumpul sejak awal 2020 lalu yang tertinggi sekali sebanyak 10,408 kes.

Sehingga semalam, Selangor mencatat kumulatif positif sebanyak 1,072,354 kes, dengan 985,860 pesakit telah sembuh, dan 76,086 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 74,105 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 405 ditempatkan di PKRC; 1,528 dimasukkan ke hospital; dan 48 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 27 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kedah pula merekodkan 10 kematian semalam, diikuti Melaka (lapan); Johor (tujuh); masing-masing enam di Kelantan, Pulau Pinang, Sabah serta Terengganu; Negeri Sembilan (empat); Pahang (dua); dan Kuala Lumpur (satu).

Tiada kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Perlis, Sarawak, Labuan dan Putrajaya, semalam.

Sementara itu, lima negeri kekal merekodkan jumlah kematian melebihi 2,000 kes iaitu Selangor; Johor (4,296 kes); Sabah (3,090 kes); Kuala Lumpur (2,759 kes); dan Kedah (2,471 kes).

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 17 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR