Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja tetapkan Isnin atau Selasa 1 Syawal

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menjelaskan keputusan sama ada 1 Syawal jatuh pada Isnin atau Selasa dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Malah keputusan bila 1 Syawal itu ditetapkan wajib dipatuhi umat Islam di negara ini, katanya mengulas tarikh menyambut Airilfitri yang menjadi perdebatan di media sosial sekarang ini.

Terdahulu, berlaku perdebatan dalam media sosial ketika ini susulan tular kandungan dalam aplikasi WhatsApp kononnya umat Islam di Malaysia dijangka menyambut 1 Syawal pada Isnin ini.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan, penentuan awal Syawal 1443H atau tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan dilakukan menerusi aktiviti cerapan rasmi di 29 lokasi di seluruh pada petang Ahad, 29 Ramadan 1443H bersamaan 1 Mei ini.

Tarikh 1 Syawal akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, aktiviti cerapan anak bulan itu dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan Sahibus Samahah Mufti Negeri. .

Mengulas lanjut Dr Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata keputusan itu hanya boleh dibuat Majlis Raja-Raja melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Menurutnya, kuasa menentukan anak bulan terletak kepada pemerintah (Ketua Negara) iaitu jika di Malaysia ia di bawah Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja bagi sesebuah negeri.

“Sebahagian besar perlaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam juga tertakluk kepada kuasa pemerintah dan hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah.

“Apabila berlaku khilaf, maka hakim atau pemerintahlah yang akan memutuskannya terutama apabila berlaku perselisihan atau perdebatan,” katanya menerusi portal Maktabah Al-Bakri.

Justeru, beliau mahu umat Islam merujuk isu itu kepada tokoh-tokoh dan pakarnya dalam bidang berkenaan termasuk hal anak bulan dan kaitannya dengan ilmu falak.

BERITA BERKAIT
POPULAR