
Peranan wanita tidak boleh dipinggirkan kerajaan, Bajet 2022 juga perlu menumpukan kepada aspek meningkatkan peranan wanita.
Berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2020, skor wanita dalam sub-indeks penguasaan politik adalah yang terendah berbanding sub-indeks yang lain iaitu hanya 0.1.
Begitu juga dengan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh (KPTB) iaitu hanya pada 55.3 peratus, kurang daripada standard 60 peratus untuk kategori negara membangun.
Kenyataan itu bukan sekadar meliputi tenaga kerja yang memerlukan kudrat fizikal sahaja namun ia secara keseluruhan termasuklah bidang pekerjaan profesional.
Penglibatan wanita pada sektor ekonomi Malaysia masih lagi menunjukkan perbezaan dengan hanya 55.2 peratus berbanding 80.4 peratus peluang serta penyertaan yang diberikan kepada lelaki.
Jurang gender ini secara tidak langsung memaparkan ketidaksaksamaan pada Indeks Jurang Gender Malaysia iaitu kiraan skor 0.711. Negara memerlukan skor 1.0 untuk menyeimbangkan jurang tersebut.
Forum Ekonomi Sedunia WEF turut melaporkan, penglibatan wanita Malaysia dalam subindeks politik jatuh ke tangga 128, berbanding 117 daripada 156 negara pada tahun lalu.
Situasi ini agak berbeza dengan statistik graduan untuk pendidikan profesional yang wanita mencatatkan peratusan 50.3 peratus berbanding lelaki yang hanya 37.8 peratus.
Isu monopoli ini tidak hanya dapat dilihat pada sentimen ekonomi sahaja, tetapi turut dapat dilihat pada penguasaan politik kerana bagi penguasaan wanita dalam jawatan Menteri pula sekadar 17.9 peratus sahaja berbanding dengan lelaki 82.1 peratus.
Catatan ini sekali gus menunjukkan kepimpinan yang diterajui oleh lelaki jauh lebih tinggi berbanding wanita.
Meskipun jurang gender ini sebenarnya sudah menunjukkan peningkatan, namun berpandukan The Global Gender Gap 2018, Malaysia berada kedudukan 63 daripada 149 buah negara – berada di atas Singapura dengan skor 0.711.
Justeru, Malaysia perlu membuka lebih banyak lagi peluang kepada wanita bagi meningkat jurang ketidaksaksamaan gender.
Selain itu, pengukuhan ekonomi dalam kalangan wanita dilihat penting dalam menyumbang pertumbuhan ekonomi negara dan mampu mengukuhkan institusi kekeluargaan.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, wanita memainkan peranan penting dan bukan sekadar sebagai suri rumah malah turut membantu ekonomi keluarga.
Sehubungan itu, Rina berkata, kementeriannya mahu membantu seramai mungkin golongan wanita menjana pendapatan sama ada mencari pekerjaan atau menceburi bidang perniagaan.
Bantuan yang diberi melalui pelbagai platform termasuk memberi peluang bekerja atau berniaga kepada golongan wanita.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib berkata, wanita tidak harus panik atau khuatir selepas kedudukan Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global 2021 berada di tangga 112 daripada 156 negara.
Menurutnya, pengukuran yang dibuat Forum Ekonomi Sedunia (WEF) lebih bersifat pendekatan situasi dan tidak menyeluruh.
Jelasnya, penyertaan substantif dan keberadaan wanita dalam sesuatu sektor tidak boleh diukur kepada kayu ukur yanng mahukan pembebasan sepenuhnya (absolute liberation).
“Tambah pula, penglibatan wanita harus diiktiraf dan mengukur sumbangan wanita secara menyeluruh, tidak hanya sebagai ketua atau ahli Parlimen.
“Kalau kita ambil contoh penglibatan wanita di Jepun termasuk dalam pemerkasaan wanita, ia juga diukur dalam keadaan menurun iaitu dari tangga 144 tahun 2020 turun ke-147.
“Wanita di Jepun tidak berasa tercabar malah mengakui nilai adab, adat dan tradisi, serta tugas wanita mendidik anak, menjadi suri rumah, sebenarnya mengukuhkan politik, ekonomi dan sahsiah generasi Jepun,” katanya.
Laporan Indeks Jurang Gender Global 2021 turut menyatakan subindeks politik mencatatkan skor terendah, lantaran penglibatan wanita yang rendah sebagai Ahli Parlimen mahupun dalam Kabinet.
Mengulas lanjut, Kartini menegaskan politik Malaysia telah membuktikan gender bukan halangan dalam politik lantaran telah ramai tokoh-tokoh wanita berjaya menang dalam pilihan raya sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen menentang calon lelaki.
“Malaysia harus ada pandangan dan alat analisis dengan kearifan tempatan yang menerima kesaksamaan gender, yang turut meliputi sokongan kerjasama gandingan gender yang saling melengkapi dan bukan dalam lensa persaingan,” ujarnya.