Penumpang LRT terpelanting akibat impak pelanggaran

Antara penumpang yang cedera sempat dirakam Lim Mahfudz selepas tren LRT bertembung di ibu negara, malam tadi.

Pertembungan kuat dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu negara malam tadi menyebabkan ramai penumpang yang duduk dan berdiri, terpelanting dari tempat masing-masing.

Menceritakan detik-detik mencemaskan ketika kejadian itu, Afiq Luqman Mohd Baharudin, 27, berkata tren dinaikinya berhenti selama 15 minit sebelum bergerak semula dan kemudian berlanggar.

Memetik laporan Bernama, beiau berkata, perlanggaran kuat itu mengakibatkan ramai penumpang terpelanting dan terjatuh.

“Sewaktu kejadian, tren menghampiri KLCC dan saya nak ke Ara Damansara.

“Kemalangan berlaku di laluan bawah tanah berhampiran KLCC dan impaknya sangat kuat, mengakibatkan ramai penumpang yang sedang duduk dan berdiri terpelanting,” katanya sambil menambah kejadian itu menyebabkan dia cedera di kepala, kaki kiri dan dada.

Katanya, tidak lama selepas kejadian, pasukan keselamatan tiba dan mengeluarkan kesemua penumpang termasuk dirinya yang kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, beberapa mangsa berkongsi detik cemas insiden berkenaan menerusi laman media sosial.

Antaranya pengguna Twitter Lim Mahfudz yang berkongsi video dan gambar kemalangan yang dirakamnya sendiri.

“Keseluruhan video ini saya rekod sendiri dan saya baik-baik saja, tidak mengalami sebarang kecederaan. Syukur kepada Tuhan kerana melindungi saya. Bagi saya, kejadian ini adalah satu tragedi dan satu mimpi ngeri yang benar-benar berlaku dalam hidup saya,” kongsi Lim Mahfudz.

Katanya ada penumpang cedera akibat terkena serpihan cermin tingkap tren yang pecah dan ada yang terpelanting selepas tren itu berhenti secara mengejut.

 

POPULAR