Penumpang cedera parah, tren LRT berhenti mengejut

Beberapa penumpang tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dilaporkan mengalami kecederaan serius dalam satu kemalangan dipercayai akibat tren berhenti secara mengejut.

Mengesahkan insiden itu pihak Rapid KL menjelaskan tren LRT yang terbabit dalam kemalangan itu melibatkan tren nombor 40 dan 81.

“Pasukan kami telah digerakkan bagi memberi pertolongan dan bantuan menyelamat ketika ini, harap semua bertenang dan mengikut segala arahan,” demikian menurut kenyataan RapidKL di twitternya malam tadi.

Beberapa penumpang cedera setelah terpelanting dari tempat duduk di dalam tren LRT, malam tadi.

Sementara itu menurut kenyataan daripada Prasarana Malaysia Berhad, pihaknya meminta maaf di atas kejadian kemalangan yang berlaku itu.

“Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan. Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan,” katanya.

Terdahulu tular sebuah video yang menunjukkan beberapa penumpang di dalam tren berkenaan mengalami kecederaan akibat daripada insiden berkenaan.

Sesetengah penumpang dilaporkan terpelanting dari tempat duduk, dan sesetengahnya cedera parah di kepala akibat terhantuk pada cermin kaca.

Difahamkan, siasatan berhubung nahas itu sedang dijalankan.

BERITA BERKAIT
POPULAR