Penularan Omicron tak dapat dielak, KKM cuba perlahankan penularan: Khairy

Penularan varian Omicron dalam komuniti tidak dapat dielakkan dan ketika ini pihak Kementerian Kesihatan (KKM) cuba mengambil langkah untuk memperlahankan gelombang penularan jangkitan varian baharu Covid-19 tersebut.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata langkah drastik dengan mengenakan langkah kawalan sekatan perlu diambil segera dan penularan varian tersebut sememangnya tidak dapat dielakkan yang perlu dihadapi orang ramai.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah berwaspada, termasuk dengan melakukan saringan secara berkala khususnya jika ingin mengadakan pertemuan dengan ahli keluarga lain.

“Saya amat sarankan saringan secara berkala jika anda ingin berjumpa dengan sanak-saudara.

“Omicron tidak dapat dielakkan. Saya ingin cuba memperlahankan gelombang (Omicron) yang bakal tiba, dengan sebaik mungkin.

“Ini supaya kita tidak perlu mengambil keputusan melaksanakan langkah drastik yang bakal menjejaskan ekonomi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KKM, Sabtu lalu memaklumkan, sebanyak 62 kes COVID-19 varian Omicron dikesan di Malaysia, dengan 61 kes adalah jangkitan import dari luar negara, manakala satu kes lagi masih dalam siasatan yang disyaki jangkitan tempatan.

Mengikut taburan data negeri pula, Omicron hari ini dilaporkan di Perak, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Menjelang ambang tahun baharu, Khairy turut menasihatkan orang ramai yang ingin menyertai aktiviti sosial untuk mengamalkan langkah berkaitan bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

“Lima saranan ingin diberikan KKM ialah lakukan ujian kendiri sebelum berkumpul, elak daripada menyertai aktiviti jika tidak sihat serta buka tingkap dan pintu untuk pengudaraan yang baik.

“Turut digalakkan ialah mengadakan aktiviti di luar rumah dan sentiasa pakai pelitup muka serta hanya tanggalkan ketika waktu makan atau minum,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR