
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu hubungan bekas Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali; Datuk Seri Najib Razak; dan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low, disiasat.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata adalah penting untuk pihak berkuasa menyiasat hubungan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Teak Jho @ Jho Low.
Katanya, jika ada hubungan antara Apandi dan Jho Low maka “konflik kepentingan” berlaku.
Menurutnya Apandi juga sebelum ini mendakwa tiada salah laku oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dr Mahathir juga mempersoalkan apakah jenis hubungan Apandi dengan Jho Low, apabila memutuskan bahawa tidak ada kesalahan yang dilakukan oleh Najib.
“Yang menjadi soalan ialah apakah jenis hubungan Apandi dengan Jho Low semasa ia memutuskan bahawa tidak ada apa-apa kesalahan yang dibuat oleh Najib.
“Jika ada hubungan maka ‘conflict of interest’ berlaku. Keputusan Apandi menghalang mahkamah dari membicara kes Najib dan juga melindungi Jho Low.
“Adalah penting siasatan dibuat berkenaan hubungan Apandi dengan Jho Low,” katanya dalam kenyataan hari ini, sambil menjelaskan beliau telah berkali-kali memberitahu sebab cadangan tuntutan semula Batu Puteh tidak diteruskan.
“Saya telah jelaskan perkara ini berkali-kali. Yang perlu dijelas ialah bagaimana Apandi mencadang penyelesaian kes Jho Low dengan tawaran Jho Low untuk bayar kepada Kerajaan Malaysia sebanyak RM1.5 bilion,” katanya.
Dr Mahathir berkata Jho Low, masih tidak bersedia untuk pulang ke Malaysia walaupun beliau sanggup menghubungi Apandi untuk berunding berhubung skandal 1MDB.
Katanya, kesediaan Apandi menerima tawaran Jho Low adalah kerana Apandi kini telah mengakui kesalahan Jho Low.
Dr Mahathir berkata, lagipun Najib didapati bersalah atas semua pertuduhan di mahkamah ketika dia dibicarakan.
“Sekaligus keputusan Apandi bahawa Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan, ditolak oleh mahkamah apabila Najib dibicara. Ini bemakna Apandi cuai dalam menjalankan amanah sebagai Peguam Negara,” katanya.
Terdahulu, satu laporan polis dibuat terhadap Apandi kerana didakwa melindungi Najib dalam kes penyelewengan dana berkaitan SRC International Sdn Bhd dan 1MDB.
Laporan dibuat Ahli Parlimen Klang Charles Santiago yang mendakwa Apandi sengaja dan mempunyai niat untuk melepaskan Najib yang sedang dibicarakan dalam kes rasuahnya daripada berdepan pertuduhan sebelum ini.