Penolong Pesuruhjaya SPRM antara ditangkap disyaki ‘Geng Nicky’

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

Dua belas pegawai kerajaan, termasuk dua daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pegawai polis berpangkat superintendan, ditangkap setelah disyaki terbabit dengan kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua suspek berusia antara 36 hingga 49 tahun ditangkap dalam Op Pelican 3.0 sejak 21 April hingga hari ini.

Operasi itu katanya, dijalankan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Katanya, superintendan polis yang ditangkap itu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan seorang lagi berpangkat inspektor di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Tangkapan lain katanya, membabitkan seorang Deputi Superintendan (DSP) di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Selangor; seorang Asisten Superintendan (ASP) dalam cawangan khas IPK Selangor; serta dua inspektor di JSJ IPK Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

“Selain itu, seorang DSP di JSJ IPD Melaka Tengah, manakala tangkapan membabitkan IPK Kuala Lumpur pula meliputi dua ASP di JSJK dan JSJ IPD Sentul,” katanya pada sidang media di IPK Johor, hari ini.

Ayob berkata, tiga lagi individu yang ditahan iaitu inspektor yang bertugas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Air Hitam, Negeri Sembilan, dan Penolong Pesuruhjaya SPRM serta Penguasa SPRM di Putrajaya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 130V hingga Seksyen 130ZB Kanun Keseksaan, Bab VI B Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA.

“Jumlah keseluruhan tangkapan berhubung kes berkenaan ialah 64 individu, setakat ini, dan siasatan masih dijalankan. Jika ada nama baharu (individu disyaki), kita akan menjalankan operasi susulan,” katanya.

POPULAR