
Pejabat pentadbiran kerajaan Malaysia di Putrajaya.
Pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan Tertinggi serta penjawat awam gred 29 hingga gred 41 bersetuju untuk menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana, menerusi pemotongan elaun Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan elaun Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) selama tiga bulan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Seri Mohd Zuki Ali berkata, keputusan itu dibuat sebagai manifestasi solidariti penjawat awam ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 ketika ini.
“Sebagai lambang kebersamaan penjawat awam dalam hal ini, sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi Pengurusan Tertinggi dari Gred 44 hingga Gred 56, serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam pada masa ini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana.
“Sumbangan dari lebih 800,000 penjawat awam (tidak termasuk frontliners serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28) adalah dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.
Katanya lagi, penjawat awam akan sentiasa menyatakan komitmen kebersamaan kepada kerajaan dan rakyat ketika menghadapi saat genting pada masa ini.
“Kita memahami penjawat awam khususnya sentiasa menjadi tulang belakang kerajaan dalam usaha mengimbangi nyawa dan kehidupan.
“Sumbangan ini adalah tanda kebersamaan para penjawat awam dalam menyokong usaha kerjaaan bagi memerangi dan melandaikan keluk jangkitan Covid-19 di negara kita,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memutuskan agar tiga bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri dipotong dan disalurkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.