
Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menarik diri daripada menjadl ahli dalam Lembaga Pengampunan melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Datuk Seri Najib Razak mungkin mendapat layanan yang lebih baik ketika berada di penjara, tetapi penjara masih sukar bagi Ahli Parlimen Pekan itu.
Bagaimanapun, anak perempuan bekas Perdana Menteri itu, Nooryana Najwa berkata Najib sedang menyesuaikan dirinya dengan kehidupan baharu di Penjara Kajang.
Nooryana Najwa dalam Instagram Story malam tadi berkata kehidupan Najib kini berbeza daripada rutin padat yang biasa dilakukannya sebelum ini.
“Hari ini (semalam) peguam bela jumpa daddy di Penjara Kajang. Alhamdulillah daddy sihat dengan semangat juang yang kental.
“Dia diberi keperluan asas dan daddy sedang menyesuaikan diri dengan rutin baharunya – berbeza daripada hari-hari ‘bossku’ yang sentiasa padat,” tulis Nooryana Najwa.
Namun, Anwar yang juga Presiden PKR percaya Najib mungkin mendapat kemudahan yang lebih baik berbanding apa yang diterimanya sepanjang dua kali dia dipenjara.
“Saya rasa Najib… daripada apa yang saya faham daripada pegawai penjara rakan sekerja lama saya, Najib akan diberi layanan yang lebih baik dalam erti kata (beliau) akan diberikan beberapa kemudahan.
“Tetapi tetap, penjara bukanlah tempat tidur bunga ros.
“Ia sukar, terutamanya jika dibandingkan dengan gaya hidupnya sekarang daripada hotel tujuh bintang kepada sesuatu yang sangat sukar dan lasak,” kata Anwar dalam temu bual dengan CNBC ketika diminta mengulas mengenai hukuman penjara Najib.
Anwar sendiri berada di tengah-tengah pelbagai perebutan politik.
Beliau merupakan timbalan perdana menteri Malaysia pada 1990-an dan dijatuhkan secara kontroversi oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum dipenjarakan atas kesalahan liwat dan rasuah.
Sabitannya dibatalkan, dan dia dibebaskan pada 2004.
Anwar dipenjarakan sekali lagi atas kesalahan liwat pada 2014 sebelum menerima pengampunan diraja pada 2018 dan dibebaskan.
Selasa lalu (23 Ogos 2022), Najib menjadi bekas Perdana Menteri pertama menempa sejarah Malaysia apabila dihantar menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang.
Bekas Presiden UMNO itu gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan bersalah Mahkamah Tinggi, yang menyaksikan Mahkamah Persekutuan memerintahkan dia menjalani hukuman 12 tahun penjara berkuat kuasa serta-merta. Dia juga didenda RM210 juta.
Dia telah didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata penemuan Mahkamah Tinggi mengenai pembelaan adalah betul dan hakim perbicaraan yang arif telah menjalankan analisis menyeluruh terhadap keterangan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan, menilai dengan betul semua keterangan berhubung dengan pembelaan dan tidak mempercayai naratif pembelaan.
Beliau juga berkata Najib telah menunjukkan bagaimana pembelaannya tidak konsisten, tidak koheren dan tidak wajar dipercayai, seperti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Selepas menghabiskan satu jam di bilik mahkamah bersama keluarga, pembantu dan ahli parti, Najib dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.