Penjamin Najib rakam prosiding mahkamah kena marah dengan hakim

Seorang penjamin kepada Datuk Seri Najib Razak diberi amaran selepas merakam video dalam sesi prosiding mahkamah dan diarahkan memadamkannya serta-merta kerana ia melanggar peraturan.

Penjamin bekas Perdana Menteri itu, Faizal Shamsuddin didapati sedang merakam video selepas Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil memberi amaran tegas berhubung ketakhadiran Najib dalam prosiding yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Hakim Abdul Karim yang bersidang bersama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera juga bertanya mengenai seorang lagi penjamin Najib.

“Mana penjamin lagi seorang? Dalam perjalanan? Mahkamah mula pukul 9 pagi, datang ikut suka hati?,” katanya.

Faizal turut diberi amaran kerana membuat rakaman ketika prosiding.

“Awak rakam ke? Ini mahkamah mana boleh buat rakaman, padamkan! Awak hantar pada siapa?,” kata Hakim Has Zanah.

Selepas itu kelihatan jurubahasa mahkamah dan beberapa anggota polis menghampiri penjamin berkenaan dan memeriksa telefon bimbitnya.

Abdul Karim juga menyoal Faizal mengenai kegagalan Najib untuk hadir pada prosiding hari ini.

Hakim Abdul Karim: Mana Najb? Kamu tahu kenapa Najib tak datang ke mahkamah, tangggungjawab sebagai penjamin adalah berat. Kamu kena menentukan kehadiran dia. Adakah kamu mengambil tahu kenapa Najib tidak hadir?

Sebagai penjamin kamu kena mengambil tahu, kami boleh membatalkan jaminan jika kami tidak berpuas hati dan waran tangkap boleh dikeluarkan untuk menangkap Najib. Mana Najib?

Faizal : Datuk Seri ada di Pavillion.

Hakim Abdul Karim: Pavillion? Pavillion itu rumah dia? Awak telefon dia tanya ke atau awak tembak sahaja? Jangan main tembak, main agak sahaja, ini mahkamah bukan kedai kopi.

Pada pagi ini mahkamah sepatutnya mendengar permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan sabitan kes SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah kemudiannya menangguhkan pada 12.30 tengah hari tadi untuk mendengar permohonan itu secara dalam talian.

BERITA BERKAIT
POPULAR