Penjaga perlu peka sebelum bawa anak cucuk vaksin Covid-19

Bermula 20 September lalu, program pemberian vaksin kepada golongan remaja berumur 12 hingga 17 tahun (PICK-Remaja) sudah pun dilaksanakan melibatkan 156 pusat pemberian vaksin PPV diseluruh negara.

Pemberian vaksin dilakukan secara kaedah ‘walk-in’ berjadual, iaitu mengikut lokasi sekolah berhampiran dengan pusat PPV dan ia melibatkan semua kategori remaja termasuk mereka yang sudah tidak bersekolah.

Ibu bapa yang mempunyai anak-anak dalam kategori itu, perlu memastikan beberapa perkara sebelum dan selepas menghantar mereka untuk mengambil vaksin.

Pertama, pastikan anak-anak mendapat tidur yang mencukupi sebelum divaksin. Ini kerana, tidur mencukupi dapat membuatkan tubuh badan berada dalam keadaan bersedia dan vaksin boleh diproses secara optimal oleh tubuh badan.

Kedua, penjaga perlu menyalurkan maklumat mengenai vaksin kepada anak agar mereka tahu akan manfaat dan kesannya dalam melindungi diri daripada wabak ini.

Seterusnya, penjaga perlu memeriksa keadaan anak sebelum mereka pergi mendapatkan vaksin dan pastikan mereka dalam keadaan sihat, jika anak tidak sihat, sebaik-baiknya di tunda dahulu tarikh ke hari lain.

Penjaga juga perlu peka, bahawa vaksin tidak akan diberikan dalam keadaan tertentu sekiranya seseorang individu itu menghidap kanser, imunisasi tubuh tidak boleh melawan penyakit atau sedang menjalani kimoterapi dan sebagainya.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dilakukan di talian pertanyaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, penjaga perlu mengambil tahu kesan selepas menerima suntikan vaksin.

Hasil kajian mendapati remaja dan kanak-kanak akan mendapat kesan sampingan di tahap ringan seperti sakit di bahagian suntikan atau ada sesetengah akan demam, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana ini merupakan tanda reaksi tubuh badan anak yang sihat dalam membentuk respons antibodi mereka.

Namun begitu, sekiranya terdapat kesan yang berlarutan, penjaga perlu membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan rawatan lebih lanjut di hospital berdekatan.

BERITA BERKAIT
POPULAR