
Perkeso menggantung serta-merta bayaran Program Penjana Kerjaya (PenjanaKerjaya) berjumlah RM423 juta.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menggantung bayaran Program Penjana Kerjaya (PenjanaKerjaya) berjumlah RM423 juta susulan laporan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes penyelewengan dana itu oleh syarikat berstatus sendirian berhad.
Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata tindakan itu dilakukan berdasarkan analisis data dan pemantauan berterusan Bahagian AntiFraud, Etika & Integriti (AFEI) Perkeso.
Katanya, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang diamanah melaksanakan pelbagai inisiatif kerajaan semasa tempoh pandemik Covid-19, Perkeso memandang serius isu penyelewengan itu.
“Di samping itu, AFEI bekerjasama rapat dengan Bahagian Kewangan dan Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan bagi memastikan setiap permohonan yang diterima dapat disemak sepenuhnya dengan teliti, sebelum bayaran dibuat kepada penerima insentif.
“Sehingga kini, jumlah bayaran PenjanaKerjaya adalah sebanyak RM1.72 bilion dengan melibatkan seramai 45,379 majikan bagi menempatkan 327,789 pencari kerja ke dalam pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, SPRM dilaporkan menahan reman 37 individu yang dipercayai menggunakan platform PenjanaKerjaya untuk membuat tuntutan palsu sehingga RM100 juta.
Sumber SPRM berkata mereka yang ditahan terdiri daripada pengarah, pemilik, pengurus dan jurutera-jurutera melibatkan 26 lelaki dan 11 wanita berusia antara 28 hingga 70 tahun daripada 64 buah syarikat berstatus sendirian berhad.
Katanya, SPRM turut membekukan akaun bernilai RM7.3 juta milik syarikat berkenaan.
Sementara itu, Mohammed Azman mengingatkan majikan supaya jujur dan berintegriti mengemukakan permohonan untuk program bantuan kerajaan termasuk PenjanaKerjaya.
Justeru, beliau meminta mana-mana majikan yang menyalahgunakan dana berkenaan atau mengemukakan permohonan tanpa mengikut syarat-syarat ditetapkan supaya tampil dan membuat bayaran balik secara sukarela.
“Majikan diminta berhubung dengan Perkeso bagi menyelesaikan isu ini sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya.