Pengubahan wang haram RM3.41 juta, bekas pengawai bank didakwa

Seorang bekas pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas 14 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM3.41 juta antara 2017 hingga 2019 melibatkan 12 mangsa.

Tertuduh, R. Ganesan, 35, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu di hadapan Hakim Noor Aini Yusof, lapor Bernama.

Menurut kertas pertuduhan, kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad cawangan Taman Inderawasih Perai antara 22 Ogos 2017 hingga 7 Okt 2019.

Ganesan didakwa melakukan kesalahan di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh diwakili peguam Pyara Singh.

Muhamad Syeqal tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas kesalahan dilakukan, namun Pyara merayu jaminan diberikan kepada anak guamnya dengan alasan tertuduh telah memberi kerjasama yang baik.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Jan 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

BERITA BERKAIT
POPULAR