Pengubahan wang haram: Lelaki dipenjara 3 tahun, denda RM1.14 juta

Seorang bekas pemilik sebuah syarikat percetakan dihukum penjara tiga tahun dan denda berjumlah RM1.14 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram dan menyembunyikan RM1,798,732.59 milik seorang wanita.

Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas S.Vinoad, 33, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan, lapor Bernama.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan menyembunyikan wang dan penjara tiga tahun serta denda masing-masing RM420,000 dan RM720,000 untuk pertuduhan pengubahan wang haram.

Tertuduh, yang kini tidak bekerja, diperintah menjalani hukuman itu secara serentak mulai hari ini dan jika gagal membayar denda, dia terpaksa meringkuk di dalam penjara selama dua tahun lagi.

Mengikut pertuduhan, Vinoad didakwa dengan curangnya menyembunyikan wang warga emas wanita berusia 62 tahun itu di dalam akaun bank atas nama syarikat Five Elements Services miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Hong Leong Islamic Bhd di Jalan Tengku Ampuan Zabidah 9/D, Seksyen 9 Shah Alam, Selangor pada 9 Mac 2018 mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Vinoad juga didapati bersalah atas dua pertuduhan memindahkan wang ke dalam akaun simpanan milik beberapa individu daripada akaun bank semasa Five Elements Services bagi transaksi masing-masing RM85,000 dan RM144,000.00 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad cawangan Pelabuhan Klang, Jalan Chungah, Off Jalan Sekolah, Port Klang, Selangor pada 12 Feb 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Subsekyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Ibu saudara Vinoad, M Manimala, 47, pula dihukum penjara lima tahun dan denda RM30,000 selepas didapati bersalah menipu mangsa sama untuk mempercayai bahawa terdapat promosi simpanan tetap dengan kadar faedah 4.38 peratus oleh Hong Leong Bank.

Perbuatan itu telah mendorong mangsa memindahkan wang RM1,798,732.59 ke dalam akaun bank atas nama Five Elements Services.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Hong Leong Islamic Bhd di Jalan Tengku Ampuan Zabidah 9/D pada 8 Feb 2018 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebatan dan denda.

Mahkamah memerintahkan tertuduh, yang juga bekas eksekutif di sebuah bank, menjalani hukuman penjara setahun jika gagal membayar denda.

Terdahulu, peguam Vemal Arasan dan Saravanan yang mewakili Vinoad dan Manimala memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afiq Zuber membantah permohonan itu dan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana mangsa kes tersebut mengalami kerugian jutaan ringgit.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman namun menaikkan jumlah jaminan kepada RM5,000 bagi setiap tertuduh.

Seramai 12 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu yang bermula pada Disember 2018.

BERITA BERKAIT
POPULAR