
Jawatan Pengerusi SPNB disandang Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Haniza Mohamed Talha diganti dengan MP UMNO, Datuk Datuk Mohd Nizar Zakaria.
Seorang pengikut Datuk Zuraida Kamaruddin yang memegang jawatan sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) digantikan dengan Ahli Parlimen (MP) UMNO, Datuk Mohd Nizar Zakaria.
MP Parit itu dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) berkuat kuasa 15 Julai bagi menggantikan Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Haniza Mohamed Talha.
Zuraida sebelum ini mengumumkan keputusannya keluar Bersatu dan menyertai PBM.
Untuk rekod, Haniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya memegang jawatan tersebut sejak 2 April tahun lepas.
Haniza sebelum ini bersama-sama Zuraida dipecat daripada PKR pada Jun 2020.
Dalam satu kenyataan, SPNB berkata pelantikan baru itu akan membantu SPNB mencapai tahap yang lebih tinggi.
SPNB ialah pemaju perumahan yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Syarikat itu diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 3 Ogos 2018, ketika itu Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang adalah Menterinya.
Zuraida sebelum ini dinamakan sebagai bakal Presiden PBM.