Penggunaan katil ICU sudah lebih 70 peratus di tiga negeri, termasuk Johor

Tiga negeri mencatatkan 70 peratus penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19, ia termasuk di Johor yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac ini.

Dua negeri lain yang mencatat penggunaan katil menghampiri 70 peratus selain Johor adalah di Kuala Lumpur dan Kelantan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Di Johor, 32 daripada 46 katil wad ICU yang diperuntukkan pesakit Covid-19 sudah digunakan.

Sementara di Kuala Lumpur sebanyak 64 peratus iaitu 14 daripada 22 katil, manakala 50 peratus iaitu 18 daripada 36 katil di Kelantan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga melaporkan peningkatan penggunaan fasiliti kesihatan membabitkan pesakit Covid-19 di katil bukan ICU dan ICU.

“Bilangan pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) pula menunjukkan penurunan, berbanding semalam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, bagi katil bukan ICU pula 10 negeri menunjukkan penggunaan lebih 50 peratus iaitu Selangor yang kini menggunakan 95 peratus diikuti Kelantan (93 peratus), Putrajaya (92 peratus), Perlis (90 peratus), Sabah (82 peratus), Johor (82 peratus), Kuala Lumpur (72 peratus), Perak (70 peratus), Pahang (55 peratus) dan Pulau Pinang (50 peratus).

“Lapan negeri iaitu Selangor (83 peratus), Terengganu (59 peratus), Sabah (58 peratus), Perak (58 peratus), Melaka (53 peratus), Negeri Sembilan (51 peratus), Perlis (51 peratus) dan Kelantan (51 peratus) menunjukkan peratusan pengisian lebih 50 peratus.

“Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 130 pesakit dan peratusan penggunaan ventilator kini pada paras 37 peratus,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhan kapasiti fasiliti kesihatan di hospital awam masih boleh menampung kes Covid-19 dan bukan Covid-19.

“Setiap negeri juga sudah bersiapsiaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya didapati kapasiti fasiliti semakin penuh,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR