Penggunaan katil ICU di Johor dan Kelantan meningkat akibat kes Covid-19

Johor yang baharu sahaja selesai mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac lalu mencatatkan peningkatan penggunaan katil kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) melibatkan kes Covid-19, ia termasuk negeri Kelantan yang juga meningkat.

Menurut rekod terbaharu Kementerian Kesihatan (KKM), enam negeri merekodkan penggunaan katil ICU sudah melebihi 50 peratus dan keadaan ini amat membimbangkan kerana tidak menolak kemungkinan lebih banyak lagi akan dimasukkan kerana berdepan keadaan kesihatan yang teruk akibat jangkitan Covid-19.

Untuk rekod, kadar penggunaan katil ICU didahului Kuala Lumpur dengan 77 peratus daripada 26 katil, Kelantan (75 daripada 48 katil), Johor (66 peratus daripada 56 katil), Selangor (62 peratus daripada 86 katil), Melaka (59 peratus daripada 32 katil) dan Pulau Pinang (51 peratus daripada 49 katil).

Bagi katil bukan ICU, 12 negeri menunjukkan penggunaan melebihi 50 peratus iaitu Putrajaya (107 peratus), Selangor (103 peratus), Kuala Lumpur (90 peratus), Perak (86 peratus), Melaka (84 peratus), Sarawak (81 peratus), Perlis (76 peratus), Terengganu (73 peratus), Kelantan (71 peratus), Johor (58 peratus), Pulau Pinang (56 peratus) dan Pahang (55 peratus).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bilangan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan menunjukkan penurunan kepada 215 pesakit atau 25 peratus penggunaan.

“Sebanyak 1,521 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam dengan 634 kes atau 41.7 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 887 kes (58.3 peratus) adalah kategori 1 dan 2,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR