Penggunaan katil Covid-19 hampir cecah 100 peratus

Kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di Lembah Klang keseluruhannya mencapai 90 peratus setakat pagi ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, enam hospital yang melebihi paras amaran kadar penggunaan katil melebihi 70 peratus iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, dengan ada antaranya telah pun menghampiri 100 peratus.

“Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil rawatan kritikal ICU Covid-19 pada kadar melebihi 50 peratus,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini berdasarkan statistik dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

Noor Hisham berkata, pembedahan dan prosedur elektif di hospital sekitar Lembah Klang akan dikurangkan atau ditangguhkan bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan Covid-19.

“Ini juga membolehkan anggota perubatan dimobilisasikan ke tempat-tempat yang lebih kritikal bagi perawatan pesakit Covid-19.

“KKM juga akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal,” katanya

Beliau berkata, kerjasama itu termasuk penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung kerajaan pada caj rawatan yang dipersetujui.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital Covid-19 akan meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang bertambah.

Katanya, KKM telah membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun lepas bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila terdapat keperluan mendesak.

BERITA BERKAIT
POPULAR