
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh membidas Datuk Seri Najib Razak kerana cuba mempertikai laporan berhubung kapal LCS yang tidak siap.
Datuk Seri Najib Razak dibidas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh kerana mempertikai laporan yang dibuat berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) baru-baru ini.
Bekas Perdana Menteri itu yang menjadi sasaran dalam skandal projek LCS bernilai RM9.1 bilion dibidas kerana tidak semak fakta berhubung laporan dikeluarkan PAC, malah Wong membidas Najib cuba bermain sentimen politik untuk mengelak dirinya dipersalahkan.
“Saya bukan lagi Ketua Pemuda DAP. Sudah empat tahun saya lepas jawatan. Boleh Google. Fakta mudah macam ini tak patut salah, sebab nanti PM6 (Najib) mahu bincang LCS itu yang lagi teknikal, lagi cenderung salah.
“PM6 kata kenyataan Pengerusi PAC salah. Saya hendak bagi tahu kenyataan Pengerusi PAC itu adalah berdasarkan pendapat, rumusan dan syor persetujuan secara konsensus PAC selepas hampir dua tahun siasatan isu ini. Bukan pandangan Pengerusi PAC sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di hantaran Facebook.
Najib selepas pendedahan laporan PAC berhubung kapal tak siap itu berkata PAC yang dipengerusikan oleh Kah Woh, yang didakwanya masih memegang jawatan Ketua Pemuda DAP.
Kata Najib lagi, sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Pakatan Harapan (PH) telah melewatkan projek itu dan membekukan sepenuhnya pada 2019.
Menjelaskan lanjut Kah Woh berkata, nilai kontrak adalah berjumlah RM9.12 bilion, dan pihaknya tidak pernah mengeluarkan kenyataan berjumlah RM6 bilion seperti yang didakwa oleh Najib
“PM6 kata, ada salah faham bajet projek LCS adalah RM6 bilion dan angka RM9 bilion itu adalah sebab kos bertambah RM3 bilion.
“Saya tidak faham apa salah faham PM6. Mungkin PM6 salah faham apa yang PM6 salah faham. Mungkin PM6 tidak membaca Laporan penuh PAC.
“Tak mengapa, saya bagi bebenang laporan penuh PAC, baca muka surat 6 saja, ambil sedikit latar belakang. PAC kata nilai kontrak RM9.128 bilion, bila kata bajet hanya RM6 bilion?” bidasnya lagi.
PAC dalam laporannya baru-baru ini mendedahkan projek LCS diberikan oleh kerajaan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) secara rundingan terus, dan kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan.
Menurut jadual asal, setakat Ogos 2022 sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli selepas pendedahan itu menamakan Najib bersama dua lagi bekas Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein antara individu yang bertanggungjawab dalam pembinaan projek tak siap tersebut.
Banyak pendedahan mengejutkan dalam laporan PAC, antaranya Kementerian Pertahanan tidak melakukan semakan kewangan terhadap BNS yang dibebani hutang, selain penukaran reka bentuk kapal LCS yang dibuat tanpa persetujuan TLDM.