
Istana Negara menjadi tumpuan sekali lagi bagi menentukan siapa Perdana Menteri kesepuluh Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, Tun Arifin Zakaria menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, pagi ini.
Bekas Ketua Hakim Negara itu tiba kira-kira jam 9.45 pagi tadi dan dilihat memasuki Pintu 2 Istana Negara menggunakan kenderaan jenis Proton Perdana berwarna hitam.
Sesi menghadap tersebut berlangsung selepas siri sembah maklum oleh 15 wakil ketua parti pada Rabu hingga Jumaat lalu, sebelum ia berakhir pada Isnin.
Difahamkan, pertemuan dengan jawatankuasa berkenaan bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong mendapat maklumat sebelum mengadakan pertemuan khas dengan Raja-Raja Melayu pada Rabu.
Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
Keanggotaannya terdiri daripada pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam, pentadbiran awam dan undang-undang, mufti serta wakil dewan perniagaan.
Sebelum ini Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadli Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata Yang di-Pertuan Agong berkenan menganjurkan sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun.
Perbincangan itu adalah atas inisiatif Yang di-Pertuan Agong dan akan dipengerusikan oleh baginda berkaitan usaha memerangi penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya ketika tempoh darurat.