Pengembara perlu jalani tempoh kuarantin lebih panjang, kata Ismail Sabri

Pengembara perlu menjalani tempoh kuarantin yang lebih panjang dan ketat selepas ini.

Semua pengembara warga tempatan dan bukan warganegara dari negara selain Sri Lanka, Bangladesh, Nepal dan Pakistan dikehendaki menjalani kuarantin lebih lama daripada 10 hari kepada 14 hari berkuatkuasa serta-merta.

Keputusan tersebut diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan tempoh 14 hari tersebut mungkin dilanjutkan lagi selama tujuh hari yang menjadikan pengembara perlu menjalani kuarantin selama 21 hari jika terdapat keperluan berdasarkan hasil penilaian risiko pada hari ke-14.

“Kuarantin tambahan ini akan dilaksanakan di stesen kuarantin yang sama. Ujian ulangan RT-PCR Covid-19 dilakukan pada hari ke-10.

“Sekiranya dilanjutkan tempoh kuarantin sehingga 21 hari, ujian ulangan RT-PCR Covid-19 perlu dibuat pada hari ke-18,” katanya dalam kenyataan hari ini lapor Bernama.

Sementara itu, tempoh kuarantin wajib ke atas pengembara yang tiba dari Sri Lanka, Bangladesh, Nepal dan Pakistan dilanjutkan daripada 14 hari kepada 21 hari di stesen kuarantin ditetapkan kerajaan serta arahan kuarantin wajib selama 21 hari ke atas pengembara yang tiba dari India dikekalkan.

Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini selepas mengambil kira situasi Covid-19 di dunia ketika ini dengan lebih 50 peratus negara melaporkan penularan varian yang membimbangkan (VOC) dalam komuniti.

Selain itu, semua pengembara perlu menjalani ujian makmal RT-PCR bagi pengesanan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas dan hanya keputusan ujian negatif dibenar menaiki penerbangan masuk ke Malaysia.

Seterusnya, MKN menetapkan semua pengembara perlu menjalani ujian makmal RT-PCR bagi pengesanan Covid-19 semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa.

POPULAR