Pengembara asing masuk Malaysia dipakaikan peranti pengesan

Semua pengembara dari negara berisiko tinggi membabitkan varian Omicron Covid-19 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dipakaikan peranti pengesanan khas.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata peranti pengesan itu akan dipakai pengembara sepanjang tempoh kuarantin sebagai langkah tambahan strategi kawalan susulan pengesanan kes Omicron pertama di Malaysia.

Selain itu, Khairy memaklumkan, pengembara yang tiba dari negara berisiko tinggi untuk menyertai gelembung pelancongan Langkawi perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 tambahan.

“Pengembara yang tiba dari negara berisiko tinggi perlu menjalani ujian tambahan iaitu pada hari ketiga dan kelima daripada tarikh ketibaan. Mereka perlu menjalani ujian RTK-Antigen secara profesional,” katanya pada sidang media hari ini.

Katanya, program Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) udara dan darat antara Malaysia-Singapura akan diteruskan buat masa ini, manakala sekatan perjalanan sementara terhadap lapan negara yang dikenal pasti sebelum ini juga dikekalkan.

Terdahulu Khairy mengesahkan penemuan kes positif pertama Omicron dalam negara melibatkan seorang pelajar swasta.

Individu tersebut merupakan seorang pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November 2021 dan telah menjalani ujian RT-PCR Covid-19 setibanya di pintu masuk antarabangsa (PMA) KLIA.

BERITA BERKAIT
POPULAR