Pengembara 27 negara wajib kuarantin 14 hari jika masuk Sabah

Semua pengembara yang tiba dari negara-negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara dan ingin memasuki Sabah dikehendaki mendapat kelulusan khas selain menjalani kuarantin wajib.

Sebanyak 27 negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara mengikut senarai terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Imigresen ialah United Kingdom, Portugal, Belanda, Australia, Kanada, Korea Selatan, Hong Kong, China, dan Israel.

Turut tersenarai ialah Itali, Jerman, Denmark, Sweden, Nigeria, Belgium, Jepun, Brazil, Norway, Republik Czech, Perancis, Austria, Sepanyol, Arab Saudi, Ghana, Ireland, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat (California).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata semua pengembara dari negara berkenaan atau mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke negara itu, dibenarkan memasuki Sabah.

Bagaimanapun, katanya semua pengembara terbabit diwajibkan menjalani ujian pengesanan RT-PCR Covid-19 dua hari sebelum berlepas dari negara berkenaan dan borang perisytiharan kesihatan (e-Health Declaration).

“Pengembara yang tidak memenuhi kriteria kebenaran masuk ke Sabah perlu mendapatkan kelulusan khas dari Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP) dan merujuk kelayakan melalui laman web rasmi PHEDNP.

“Ujian RT-PCR dilakukan semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa pertama ke Malaysia,” katanya yang juga jurucakap perkembangan Covid-19 Sabah.

Masidi berkata bagi pengembara yang tiba dari negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan tanpa mengira status pelalian.

“Selain itu, kuarantin di rumah tidak dibenarkan dan pengembara juga tidak dibenarkan meneruskan perjalanan ke Sabah atau ke destinasi lain dalam negeri ini sehingga lengkap tempoh kuarantin.

“Keputusan ujian saringan RT-PCR pada hari ke -10 mesti negatif sebelum diberi kebenaran penamatan dari kuarantin dan penilaian risiko dilakukan pada hari ke 14 serta lanjutan kuarantin sekiranya perlu,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR