Pengeluaran KWSP semasa PKP tak jejas pasaran kewangan domestik

Pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM101 bilion melalui skim i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra, tidak akan menjejaskan pasaran kewangan domestik berikutan kedudukannya sebagai antara pemain terbesar dalam pasaran Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

Timbalan Menteri Kewangan 1, Mohd Shahar Abdullah, berkata pengeluaran terbabit juga tidak memberi impak negatif ke atas pelaburan MGS.

“Malah, langkah seperti kaedah Alokasi Aset Strategik (SAA) sedang dilakukan bagi menampung segala pengeluaran dibuat sepanjang tempoh terbabit.

“Kerajaan juga akan terus meneliti kaedah lain untuk memastikan Jaringan Keselamatan Sosial persaraan rakyat ini dapat kembali ke tahap yang sepatutnya,” katanya lapor Bernama semasa sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) mengenai pelan strategi Kementerian Kewangan untuk menyokong jaminan keselamatan persaraan rakyat yang semakin kecil berikutan kebenaran pengeluaran pelbagai skim KWSP.

Dalam kenyataan pada 31 Oktober lalu, KWSP menyatakan bahawa sejumlah RM101 bilion telah dikeluar dan disalurkan kepada lebih 7.4 juta ahlinya atau menyamai lebih separuh daripada ahli dana persaraan itu.

Mohd Shahar berkata, inisiatif lain diperkenalkan termasuk yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2021 mengenai pengeluaran baharu untuk ahli membeli produk insurans atau takaful yang dijangka memberi manfaat perlindungan diri dan keluarga pencarum.

Selain itu, KWSP juga memberi pilihan pengeluaran fleksibel pada usia 55 dan 60 tahun sama ada bayaran secara sekali gus, bulanan, dividen tahunan saja atau mana-mana jumlah pada bila-bila masa.

“Ini bagi menggalakkan ahli memilih bayaran pengeluaran secara berkala atau bulanan yang membolehkan simpanan itu terus mendapat dividen tahunan dan bertahan lebih lama,” katanya.

Beliau menjelaskan, inisiatif lain termasuk tempoh tanggungan mencarum, iaitu ahli dan majikan wajib mencarum hingga umur 75 tahun jika masih bekerja.

Bagi menggalakkan ahli terus kekal aktif bekerja dan majikan mengambil pekerja berusia 60 tahun dan ke atas pula, KWSP tidak mengenakan apa-apa caruman ke atas pekerja, manakala majikan cuma diwajibkan mencarum sebanyak empat peratus.

Beliau berkata, i-Saraan pula diperkenal bagi membolehkan golongan bekerja sendiri atau tiada pendapatan tetap, mencarum secara sukarela dan sebagai insentif, kerajaan menyumbang 15 peratus daripada caruman, tertakluk kepada jumlah maksimum RM250 setahun.

“Selain itu, KWSP turut memperkenalkan i-Suri bagi menjaga kebajikan golongan wanita, terutama suri rumah dengan matlamat simpanan untuk kegunaan hari tua, selain menyediakan khidmat nasihat secara percuma berhubung perancangan dan pengurusan simpanan persaraan,” katanya.

Mohd Shahar berkata, inisiatif Belanjawanku pula dilancarkan sebagai panduan perbelanjaan minimum bulanan bagi kategori dan perkhidmatan untuk isi rumah merancang perbelanjaan peribadi serta keluarga.

BERITA BERKAIT
POPULAR