
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Kerajaan tidak akan melanjutkan insentif pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi pembelian kenderaan baharu yang akan tamat pada 30 Jun ini.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika mengumumkan perkara itu berkata kira-kira 264,000 unit kenderaan masih belum dibekalkan kepada pembeli berikutan gangguan dalam rantaian bekalan global.
“Bagi membolehkan mereka yang membuat tempahan kenderaan baharu mendapat manfaat daripada pengecualian SST, pendaftaran kenderaan baharu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.
“Pelanjutan tempoh pendaftaran kenderaan adalah penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan pasca wabak bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara,” katanya lagi.
Menurutnya kerajaan telah memperkenalkan pengecualian sepenuhnya cukai jualan ke atas kenderaan penumpang termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) pemasangan tempatan serta 50 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang import (CBU) sejak 15 Jun, 2020 dan akan berakhir pada 30 Jun 2022.
Awal bulan ini, Persatuan Automotif Malaysia menjangkakan harga kereta akan meningkat sehingga 10 peratus jika kerajaan memutuskan untuk tidak melanjutkan pengecualian SST itu.
Inisiatif pengecualian cukai kenderaan penumpang termasuk kenderaan pelbagai guna dan kenderaan utiliti sukan jenis CKD dan CBU diperkenalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020, dan berkuat kuasa mulai 15 Jun hingga 31 Disember 2020.
Ia merangkumi pengecualian cukai jualan 100 peratus bagi model CKD dan 50 peratus bagi model CBU.
Pada 29 Disember 2020, kerajaan mengumumkan lanjutan pengecualian cukai itu untuk tempoh enam bulan sehingga 30 Jun 2021, sebelum melanjutkannya sehingga 31 Disember tahun sama.
Bagaimanapun, sebelum tempoh insentif itu berakhir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan memutuskan melanjutkan pengecualian cukai sehingga 30 Jun ini untuk mengurangkan kos memiliki kenderaan, selain meringankan beban rakyat.
Sementara itu menurut Bernama Tengku Zafrul berkata setakat ini, sebanyak 868,422 unit kenderaan telah terjual dan rakyat telah mendapat manfaat pengecualian cukai jualan berjumlah RM4.7 bilion.
Beliau berkata dengan pembukaan sektor ekonomi, sektor automotif telah kembali beroperasi seperti sedia kala.
“Bagaimanapun terdapat sejumlah permintaan yang masih belum dapat dipenuhi ekoran gangguan kepada rantai bekalan global.
“Pada masa yang sama, seluruh dunia sedang menghadapi masalah kekurangan cip mikro semikonduktor yang digunakan secara meluas merentas beberapa industri termasuk industri automotif,” katanya.
Beliau berkata susulan itu, pemasangan sebanyak 264,000 unit kenderaan yang ditempah dalam tempoh pengecualian cukai jualan ini masih belum siap dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli.