Pengarah urusan syarikat tipu pakej umrah dipenjara 10 tahun

August 9, 2022 · Isu semasa

Seorang pengarah urusan sebuah syarikat dijatuhi hukuman penjara 10 tahun selepas didapati bersalah atas 23 pertuduhan berkaitan penipuan pakej umrah ke tanah suci Makkah dan ziarah ke Mesir antara 2015 hingga 2016.

Majistret Arif Mohamad Shariff membuat keputusan itu di Mahkamah Majistret Sungai Petani selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah ke atas tertuduh Misbahalmunir Omar, 56, menurut laporan Bernama.

Mohamad Shariff menjatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan yang keseluruhannya berjumlah 230 tahun namun memerintahkan hukuman itu dijalankan serentak bermula dari tarikh sabitan.

Selain itu, mahkamah mengecualikan tertuduh daripada sebatan memandangkan dia sudah berusia melebihi 50 tahun dan membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara kerana ingin mengemukakan rayuan berkaitan sabitan dan hukuman ke Mahkamah Tinggi.

Mohamad Shariff kemudian menetapkan jaminan RM88,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan antarabangsanya untuk disimpan oleh mahkamah sehingga proses rayuan selesai.

Mengikut fakta kes, Misbahalmunir yang ketika itu adalah Pengarah Urusan Syarikat Raudah Mawaddah Travel & Tours Sdn Bhd yang didaftarkan di Jalan Kuala Ketil di sini telah berurusan dengan seorang individu untuk mengadakan rombongan umrah dan perjalanan ke Mesir pada 2015.

Amzari Halim, yang juga pengadu dalam kes itu, merupakan perunding dan mutawwif umrah telah diminta tertuduh untuk memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan bagi pembelian tiket perjalanan pergi dan balik.

Bagaimanapun, tertuduh tidak memaklumkan kepada pengadu bahawa syarikatnya telah gulung tikar sejak 14 Jan 2015 atas perintah Mahkamah Tinggi Alor Setar dan tertuduh turut meminta pengadu memasukkan wang peserta ke dalam akaun bank milik tertuduh, isterinya serta pekerja-pekerja syarikat itu.

Sebanyak 56 transaksi dilakukan di antara 2 Nov 2015 dan 28 Jan 2016 dengan jumlah RM434,250 membabitkan 202 peserta.

Tertuduh juga telah menghantar jadual perjalanan tiket kesemua peserta kepada pengadu yang menyaksikan penerbangan dijadualkan pada 29 dan 30 Jan 2016.

Bagaimanapun, setelah pengadu dan peserta tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, mereka mendapati kesemua jadual perjalanan tiket yang dibekalkan oleh tertuduh tidak sah serta tidak wujud sebelum membuat laporan polis.

Misbahalmunir telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 26 Jun 2018 atas 23 pertuduhan memperdaya pengadu untuk memasukkan wang yang dikutip daripada peserta terbabit dan dia didakwa melakukan kesemua kesalahan di beberapa lokasi di Kedah, Johor dan Selangor di antara 2 Nov 2015 hingga 28 Jan 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman minimum penjara setahun maksimum 10 tahun serta sebat dan boleh didenda.

Terdahulu, peguam Siti Salwa Jaafar, Mohd Khairul Hafizuddin Ramli dan Siti Haslina Hasbullah memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana tertuduh sudah berusia selain perlu menyara isteri dan lima anak termasuk seorang yang menghidap autisme.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin dan Galvin Loo Wei Ming pula memohon hukuman setimpal kerana kesalahan tertuduh merupakan jenayah teratur serta sistematik selain melibatkan ramai mangsa termasuk dua daripada mereka sudah meninggal dunia.

Berita berkaitan
Kes saman fitnah: Ramasamy sudah bayar Zakir RM1.52 juta
December 1, 2023· Politik
Najib mohon DNAA bagi tiga lagi pertuduhan membabitkan kes dana SRC
December 1, 2023· Politik
Isu pertalian dengan komunis, tiga pemimpin DAP saman MP Kepala Batas
November 29, 2023· Politik
Yasin bebas pertuduhan kes dadah, diarah ke Hospital Bahagia
November 29, 2023· Isu semasa
Popular
Laporan Wahab dakwa Agus buat gangguan seksual disiasat polis
December 1, 2023
Bekas ADUN DAP disabit kes rogol lantik Hisyam Teh ketuai pasukan pembelaan
December 1, 2023
Penganggur didakwa edar dadah Methamphetamine lebih 10 kg
December 1, 2023
Kenapa generasi muda semakin hilang adab?
February 14, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Remaja cuba samun pemandu e-hailing didakwa esok
53 minit lalu · Isu semasa
Dakwaan gangguan seksual dihadapi Wahab, polis akan panggil beberapa individu
56 minit lalu · Isu semasa
Laporan Wahab dakwa Agus buat gangguan seksual disiasat polis
18 jam lalu · Isu semasa
Banjir di Johor: 538 orang dipindahkan ke PPS, paras sungai naik
December 1, 2023 · Isu semasa
Penganggur didakwa edar dadah Methamphetamine lebih 10 kg
December 1, 2023 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Ucapan Tuan Guru Hadi di Grand Finale PRK Kemaman
6 jam lalu
[VIDEO] Ucapan Radzi Jidin di Grand Finale PRK Kemaman
8 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok