
Beberapa tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya (PenjanaKerjaya).
Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang pengarah syarikat bagi membantu siasatan isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).
Pengarah syarikat tersebut ditahan bagi membantu siasatan melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta dalam PenjanaKerjaya.
Individu berusia 41 tahun itu direman selama empat hari selepas Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor membenarkan permohonan SPRM pagi tadi.
Sementara itu, seorang lagi suspek wanita berusia 40 tahun dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.
Media sebelum ini melaporkan dua lagi individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana PenjanaKerjaya. Mereka ditahan di Kuala Lumpur jam 1.30 tengah hari semalam.
Sumber berkata, kedua-dua suspek dipercayai mengemukakan invois Program Latihan Insentif Pengambilan Pekerja yang mengandungi butiran matan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memperoleh bayaran di bawah peruntukan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjumlah kira-kira RM700,000 sedangkan program itu tidak dilaksanakan sepenuhnya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Menurutnya, operasi dan siasatan masih diteruskan serta tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat.
Pada 14 Julai lalu, SPRM menahan 37 individu di beberapa negeri bagi membantu siasatan berkaitan isu itu dan tiga lagi individu ditahan di Johor dan Pulau Pinang sehari kemudian bagi membantu siasatan kes yang sama.
Setakat ini, jumlah keseluruhan suspek yang ditahan menerusi Ops Hire adalah seramai 42 individu.