Pengarah rugi RM174,000 selepas ‘menang hadiah RM2.38 juta’

Selepas dimaklumkan memenangi hadiah cabutan bertuah lebih HK$4.4 juta bersamaan kira-kira RM2.38 juta, seorang pengarah sebuah syarikat akhirnya kerugian lebih RM174,000.

Mangsa dipercayai ditipu ‘scammer’ menggunakan modus operandi hadiah cabutan bertuah, kata Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Deputi Superintendan Yap Huat Tian

Menurutnya mangsa berusia 61 tahun dihubungi wakil syarikat perjudian dari Macau dan Hong Kong memaklumkan dia memenangi hadiah cabutan bertuah lebih RM2.38 juta.

“Mangsa menerima panggilan itu pada penghujung tahun lalu disusuli panggilan daripada pegawai Bank Forex Hong Kong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yap berkata atas arahan pegawai itu, mangsa diminta menjelaskan pelbagai bayaran termasuk cukai kastam dan kos guaman bagi menuntut hadiah wang yang bakal diterima.

“Mangsa turut diperdaya hingga membuat beberapa bayaran lain melalui 10 transaksi bayaran ke lima akaun bank atas nama individu berbeza dengan jumlah bayaran keseluruhan RM174,939,” katanya.

Beliau berkata, selepas bayaran itu dijelaskan mangsa gagal menerima wang hadiah yang dijanjikan pihak terbabit.

“Mangsa mula curiga dan syak dia ditipu apabila panggilannya disekat. Mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, Yap menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan tawaran hadiah lumayan melalui sebarang peraduan secara dalam talian.

Katanya, hadiah yang dijanjikan hanya umpan ‘scammer’ untuk menjerat mangsa menyerahkan wang hingga terpaksa menanggung kerugian.

BERITA BERKAIT
POPULAR