
Di mana-mana negara pun pegawai Imigresen bertanggungjawab memastikan individu yang masuk ke negara atau negeri mereka memiliki dokumen pengenalan yang sah. - Gambar AFP
Pegawai Imigresen mempunyai tanggungjawab untuk mengesahkan sama ada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, melancong dengan ibu bapa atau penjaga yang sah.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Sitti Saleha Habib Yussof berkata pegawai Imigresen di pintu masuk dan keluar, seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), diamanahkan dengan, antara lain, tanggungjawab mencegah pemerdagangan kanak-kanak.
“Kita juga mesti memastikan bahawa tiada kanak-kanak dibawa masuk dan keluar dari negeri ini tanpa kebenaran ibu bapa mereka.
“…Dan tidak ada warganegara atau kanak-kanak dengan sijil kelahiran palsu keluar atau masuk ke negeri ini, dan bahawa penjaga yang membawa kanak-kanak ini adalah penjaga yang sah, ” katanya menurut TheStar.
Kenyataannya dibuat selepas seorang penumpang baru-baru ini berkongsi pengalamannya diminta mengemukakan sijil kelahiran anaknya dan pegawai Imigresen di pusat pemeriksaan pada mulanya enggan mengakui Mykidnya apabila mereka tiba di KKIA.
Menurut catatan Facebooknya, penumpang itu berkata dia dan anaknya melalui pusat pemeriksaan bersama-sama kerana suaminya telah melalui kaunter sebelum ini tanpa mereka.
Katanya dia telah menunjukkan Mykid anaknya tetapi pegawai itu masih tidak membenarkan mereka melepasi pusat pemeriksaan Imigresen.
Menurutnya dia telah dirujuk kepada pegawai lain untuk penjelasan sebelum mereka akhirnya membenarkan dia dan anaknya berlalu.
Dia juga berkata pegawai Imigresen itu mendakwa terdapat kes kanak-kanak dibawa masuk atau keluar dari Sabah tanpa kebenaran.
Mengulas lanjut Sitti berkata pegawai Imigresen yang ditempatkan di KKIA mesti mengesahkan status dan identiti setiap penumpang di dalam dan luar negeri dengan betul.
“Kita perlu menghalang kemungkinan kanak-kanak dibawa masuk atau keluar dari Sabah tanpa kebenaran penjaga mereka yang sah,” katanya.
Beliau berkata pegawai Imigresen juga bekerjasama dengan agensi keselamatan lain di lapangan terbang untuk memastikan keselamatan semua penumpang.