
Timbalan Setiausaha Agung DAP Liew Chin Tong membalas kenyataan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berhubung isu pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas.
Setelah disifatkan sebagai hipokrit kerana mengkritik masalah pengangkutan awam dan lalu lintas, Timbalan Setiausaha Agung DAP Liew Chin Tong menasihatkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong menjadi lebih profesional dalam mengatasi masalah kesesakan.
Menurutnya Ka Siong perlu bersikap rasional dan profesional dalam mencari titik penyelesaian berhubung masalah pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas yang berlaku di Lembah Klang.
Ahli Dewan Undangan Negeri Perling, Johor itu mengingatkan Ka Siong bahawa masalah kesesakan yang berlaku, khususnya di Lembah Klang adalah suatu fakta yang tidak dapat dinafikan.
“Kesesakan lalu lintas adalah nyata dan dirasai oleh semua rakyat Malaysia. Satu-satunya jalan keluar untuk mengurangkan kesesakan adalah dengan mendapatkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk beralih kepada pengangkutan awam.
“Tetapi pengangkutan awam, terutamanya bas, perlu diberi subsidi dan disediakan dengan bilangan yang mencukupi, menepati masa dan keselesaan.
“Jadi Menteri Pengangkutan harus tenang, profesional dan rasional kerana kesesakan lalu lintas adalah masalah semua rakyat Malaysia. Jadi mari kita buat perbincangan yang lebih rasional,” katanya dalam kenyataan hari ini mengulas kenyataan Ka Siong yang turut menganggap kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini antipengangkutan awam.
Sabtu lalu, Ka Siong membidas Chin Tong kerana mengkritik kerajaan yang didakwa kurang berusaha dalam menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas.
Menggelar Liew sebagai ‘hipokrit’, Presiden MCA itu mempersoalkan tindakan kerajaan PH sebelum ini yang menangguhkan beberapa projek pengangkutan awam.
Ini termasuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, Pautan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB).
Berita berkaitan: Ka Siong kata Chin Tong hipokrit isu kesesakan lalu lintas
Mengulas lanjut, Chin Tong menyangkal dakwaan Ka Siong bahawa kerajaan PH bersikap antipengangkutan awam dengan menyenaraikan sumbangan mereka ketika memerintah selepas memenangi Pilihan Raya Umum 2018.
Menurutnya PH berjaya meletakkan pengangkutan awam di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan berbanding Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pembangunan Usahawan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Malah program pas perjalanan tanpa had My50 dan My100 yang diperkenalkan oleh bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook cukup popular sehingga diteruskan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.