
Pemandu Myvi positif dadah jenis ganja yang disyaki menyebabkan nahas membabitkan lima kenderaan.
Seorang penganggur yang ditahan selepas disyaki menyebabkan kemalangan lima kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di daerah Rembau, Ahad lepas, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas tuduhan memiliki ganja.
Mengikut kertas pertuduhan, Munzir Azmeer Abd Rahim, 28, didakwa memiliki tumbuhan kering disyaki dadah kanabis dianggar seberat 3.39 gram di dalam kereta jenis Perodua Myvi di Kilometer 242.9 di Lebuh Raya PLUS arah selatan, dalam daerah Rembau, kira-kira 10.25 pagi pada 5 Jun lepas.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah, Che Ku Nor Azlinda Che Ku Mahmood.
Tiada jaminan ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Yap Tsu Sheng dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Jun ini. – Bernama
Dalam insiden pada jam 10.40 pagi 5 Jun lalu, Perodua Myvi yang dipandu lelaki tersebut dipercayai hilang kawalan dan melanggar sebuah Toyota Avanza yang berada di hadapannya.
Akibat rempuhan itu, Toyota Avanza dipandu lelaki berusia 44 tahun berpusing beberapa kali dan melanggar dua kereta lain, selain tayar belakang kiri kereta itu tercabut lalu terpelanting masuk ke laluan arah bertentangan dan mengenai sebuah lagi Perodua Myvi.
Bagaimanapun, beliau berkata kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 LN 166/69.