Individu yang perlu merentas daerah bagi mendapatkan suntikan vaksin tidak perlu mohon surat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata penerima vaksin hanya perlu menunjukkan janji temu dalam MySejahtera atau laman web dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Berkaitan dengan vaksin tidak perlu kebenaran daripada PDRM memadai dengan menunjukan bukti bahawa mereka memang perlu pergi ke tempat penerimaan vaksin melalui janji temu di MySejahtera,” katanya pada sidang media khas sebentar tadi.
Dalam pada itu katanya, polis akan menambah bilangan kekuatan yang bertugas ketika ini kepada 55,000 anggota bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan ‘total lockdown’ yang akan bermula esok.
“Ketika ini yang bertugas adalah 38,000 anggota ditambah bantuan daripada 6,000 petugas agensi lain ia menjadi 42,000 petugas,” katanya.
Dalam pada itu katanya sekatan jalan raya akan diadakan di 800 lokasi berbanding 600 sebelum ini, secara tetap dan bergerak.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula esok hingga 14 Jun depan.