Penerima dua dos vaksin boleh rentas negeri mulai Selasa: PM

Kerajaan membenarkan individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 melaksanakan beberapa aktiviti, termasuk merentas negeri dan daerah, berkuat kuasa Selasa, 10 Ogos 2021.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan beri kelonggaran kepada individu yang telah terima vaksinasi lengkap itu dibuat dengan sangat berhati-hati selepas diteliti oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sehubungan itu, Perdana Menteri dalam perutusan khas hari ini berkata kerajaan bersetuju memberikan kemudahan kuarantin dan perjalanan kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap di seluruh negara dan terpakai ke atas semua fasa di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

a. Kemudahan-kemudahan yang dimaksud secara amnya adalah seperti berikut:

i. Pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia (termasuk PR dan Malaysia MY Second Home) yang pulang atau tiba dari luar negara dan telah mendapat vaksin dos lengkap, dibenarkan menjalani kuarantinb wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.

ii. Pasangan suami isteri jarak jauh yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan rentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.

iii. Ibu bapa yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak di bawah umur 18 tahun.

“Saya juga amat memahami permintaan saudara dan saudari untuk kembali menunaikan solat di masjid dan surau. Sehubungan itu, kerajaan bersetuju supaya aktiviti solat sahaja dibenarkan di masjid dan surau bagi Jemaah yang telah menerima vaksinasi lengkap. Kemudahan ini juga terpakai ke atas semua fasa dalam PPN,” kata Perdana Menteri.

Syarat yang ditetapkan ialah:

a. Pihak masjid dan surau perlu pastikan SOP berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan juga pastikan jemaah terus pulang setelah selesai solat.

b. Jemaah yang hadir untuk menunaikan solat mesti menunjukkan kepada petugas masjid dan surau sijil digital vaksinasi Covid-19 (digital certificate Covid-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

c. Kemudahan ini juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat.

d. Pelaksanaan kemudahan ini adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri dan Kementerian Perpaduan Negara bagi Rumah Ibadat Selain Islam

Perdana Menteri juga berkata kerajaan bersetuju memberikan kemudahan-kemudahan bagi sektor sosial kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri-negeri dalam Fasa 2 dan seterusnya.

Kemudahan-kemudahan tersebut secara amnya adalah seperti berikut:

a. Rentas daerah dibenarkan

i. Individu yang ingin melakukan perjalanan rentas daerah mesti menunjukkan kepada petugas keselamatan di sekatan jalan raya sijil digital vaksinasi Covid-19 (digital certificate Covid-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

b. Aktiviti dine-In dibenarkan

i. Jika dibandingkan dengan aktiviti sosial lain, aktiviti dine-in sememangnya mempunyai risiko yang lebih tinggi. Ini kerana pelitup muka akan dibuka ketika makan dan juga ketika berbual dengan teman semeja. Ini mendedahkan individu tersebut kepada jangkitan
Covid-19.

ii. Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan orang ramai untuk dinein apabila perlu sahaja dan tidak meluangkan masa yang terlalu lama. Orang ramai juga dinasihatkan untuk take-away jika situasi mengizinkan. Pilihlah premis yang mempunyai sistem pengudaraan
yang baik dan terbuka.

iii. Saya juga ingin menyarankan kepada pengusaha-pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik. Kita faham bahawa risiko penyebaran virus Covid-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar.

iv. Pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 (digital certificate Covid-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

v. Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan anak-anak anda mematuhi SOP yang ketat.

c. Aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) dibenarkan

i. Aktiviti sukan dan rekreasi amat penting bagi memastikan tahap kesihatan minda dan kecergasan fizikal yang baik. Oleh itu, aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam.

ii. Aktiviti dine-in di restoran atau kafe di premis club house adalah dibenarkan selaras dengan kebenaran dine-in. Pemilik premis perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 (digital certificate Covid-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

iii. Operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house adalah tidak dibenarkan. Ini bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan.

iv. Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya.

d. Aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama dibenarkan melibatkan homestay dan hotel.

i. Pengusaha homestay dan hotel perlu pastikan mereka yang ingin memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 (digital certificate Covid-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

BERITA BERKAIT
POPULAR