Penerima 2 dos vaksin mungkin dibenar ke luar negara

Individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 mungkin dibenar merentas negeri atau boleh ke luar negara, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, keputusan mengenai perkara itu bagaimanapun akan dibuat pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, kerajaan juga telah memulakan rundingan dan perbincangan dengan beberapa negara lain bagi membolehkan rakyat Malaysia yang telah menerima dua dos vaksin itu untuk ke negara berkenaan.

“Saya akan bincang dalam mesyuarat MKN. Kita akan membincangkan bahawa siapa yang sudah mendapat dua suntikan vaksin mereka akan boleh rentas negeri dan ke mana-mana dengan tidak dihalang oleh pihak berkuasa.

“Ini menggalakkan orang ramai. Bukan sahaja dalam negara, kita sudah memulakan rundingan dengan beberapa negara untuk membolehkan warga kita yang sudah disuntik dua kali dan akan ada satu sijil supaya mereka boleh bergerak,” katanya, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba memaklumkan sebanyak 215,395 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka.

BERITA BERKAIT
POPULAR